Aplikasi Google Photos untuk Android dan iOS telah dikemaskini pagi ini membawakan ciri suntingan video baharu. Dalam mod suntingan, video boleh dipotong dengan lebih mudah bagi memastikan babak yang diingini sahaja digunakan dalam video yang kemudiannya dikongsi ke media sosial.
Selain itu bagi memudahkan suntingan, Photos juga hadir dengan sistem suntingan video dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) dengan pratetapan terbina. Melakukan suntingan dengan gerak perlahan juga dipermudahkan lagi bagi menghasilkan visual lebih dramatik.
Proses mencari babak sesuai untuk gerak perlahan, memotong babak diperlukan, mengenakan kesan gerak perlahan dan menyunting warna video semuanya dilakukan secara automatik. Video turut dapat distabilkan daripada babak bergoyang dan warna dapat dipertingkatkan dengan menekan satu butang sahaja. Ciri ini diberikan bermula hari ini menerusi kemas kini Google Photos secara berperingkat.