Kereta Elektrik Volvo EX 30 Dilancarkan Dengan 3 Versi Pada Harga Bermula RM 188,888
Ikhwan Nazri
Volvo Malaysia antara yang jenama terawal menawarkan kesemua kereta mereka dengan teknologi elektrik, dimana sejak tahun 2021 kesemua penawaran mereka merupakan kereta petrol dengan bateri hibrid (PHEV). Selepas melancarkan C40 Recharge & XC40 Recharge, hari ini mereka mengumumkan kereta elektrik terbaharu iaitu EX30.

Volvo EX30 merupakan kereta elektrik dalam kelas kompak dimana ia turut menggunakan platform Geely SEA 2 dan turut digunakan pada Smart #1. Ia ditawarkan dalam 3 versi iaitu EX 30 Plus dan Ultra iaktu versi satu motor di bahagian belakang RWD yang memberikan kuasa 276PS dan 343Nm tork serta boleh memecut 0-100km/j sepantas 5.1 saat, dan juga EX 30 Ultra Twin Performance iaitu versi dua motor AWD yang memberikan kuasa 434PS dan 543Nm tork membolehkan pecutan 0-100km/j dalam masa 3.1 saat. kedua-dua model ini mempunyai kelajuan maksimum yang sama iaitu 180 km/j.

Dari segi bateri, kesemua Volvo EX30 mempunyai bateri yang sama iaitu 69 kWh yang memberikan jarak perjalanan sekitar 480 KM WLTP dan versi Ultra Twin Performance mempunyai jarak perjalanan sekitar 450 KM. Ia dilengkapi pengecasan pantas DC 180kW yang membolehkan pengecasan 20-80% dalam masa 28 minit dan pengecasan AC 11kW.
Sebagai jenama yang penuh dengan fungsi premium, Volvo EX30 turut mengetengahkan pelbagai fungsi pintar antaranya sistem swa-parkir, sistem swapandu tahap 2, sistem pemantauan pemandu, sistem pengesanan kemalangan dan bermacam lagi. Pembesar suara Harman Kardon datang dalam bentuk ‘soundbar’ yang boleh memenuhi segenap ruang pemanduan jadi tidak terdapat pembesar suara di bahagian pintu, untuk memaksimumkan ruang storan.

Dalam mengekalkan kelestarian sejagat, Volvo EX30 ini juga merupakan kenderaan dari Volvo yang mempunyai kadar jejak karbon (footprint) paling rendah. Ini dijayakan dengan penggunaan bahan-bahan yang dikitar semula seperti aluminium 25% dan besi 17% dan plastik 17% untuk cesi badan kereta elektrik ini. Malah bahan fabrik kereta ini turut menggunakan bahan yang telah dikitar semula.

Volvo EX 30 Plus akan ditawarkan pada harga RM 188,888, EX 30 Ultra pada harga RM 208,888 dan EX 30 Ultra Twin Performance akan ditawarkan pada harga RM 228,888. Kesemua versi akan ditawarkan dalam lima pilihan warna dengan jaminan komprehensif selama 5 tahun tanpa had perbatuan, jaminan bateri voltan tinggi selama 8 tahun, perkhidmatan penyelenggaran percuma selama 5 tahun, bantuan kecemasan di perjalanan selama 5 tahun, dan capaian internet serta perkhidmatan Google.
Bermula hari ini sehingga 29 September, Volvo turut mengadakan pameran EX 30 di KL Base jadi anda boleh hadir dan melihat sendiri penawaran terbaru dari Volvo Malaysia, iaitu kereta termurah dari mereka setakat ini.
