Perisian Kaspersky Digantikan Dengan UltraAV Tanpa Amaran Kepada Pengguna Di Amerika Syarikat
Nazrin
Seperti yang sedia maklum, kerajaan Amerika Syarikat telah mengharamkan penggunaan dan kemaskini untuk perisian sekuriti PC Kaspersky Labs pada pertengahan tahun ini, dan menjelang 29 September ini, ia seharusnya dipadamkan sepenuhnya.
Kaspersky Labs juga telah menutup pejabat mereka di Amerika Syarikat sekitar bulan Julai yang lalu, dan kini, sebagai “kemaskini” terakhir perisian itu, ia telah dilaporkan bahawa ramai pengguna perisian sekuriti tersebut telah mendapati baru-baru ini bahawa ia telah dibuang dan digantikan dengan satu perisian sekuriti baru, iaitu UltraAV.

Beberapa minggu yang lalu, Kaspersky telah menghantar emel kepada pengguna-pengguna sedia ada mereka di Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa perisian sekuriti mereka boleh digantikan dengan UltraAV, yang akan terus melindungi komputer-komputer mereka.
Akan tetapi, apa yang berlaku pula ialah perisian Kaspersky Labs tersebut telah digantikan oleh UltraAV tanpa sebarang input ataupun kebenaran dari pengguna. Ramai pengguna Kaspersky sebelum ini terkejut melihat komputer mereka kini menggunakan UltraAV apabila mereka tidak ataupun belum menukarnya.
Kaspersky Labs juga telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini melalui forum mereka, dan terdapat persoalan mengapa beberapa pelanggan di luar negara tersebut yang juga terkesan akibat isu ini.
Pihak Kaspersky menjawab bahawa pertukaran perisian sekuriti ini berlaku sekiranya ia mengesan lesen yang diedarkan untuk pengguna Amerika Syarikat. Sekiranya mana-mana pelanggan di luar negara tersebut terkesan dengan isu ini, ia adalah kerana lesen yang digunakan adalah untuk pengguna Amerika Syarikat. Mereka juga telah meminta pelanggan yang tidak berada di Amerika Syarikat yang terkesan untuk menghantar laporan kepada pihak perkhidmatan pelanggan mereka.
[sumber]Bleeping Computer, Kaspersky Labs[/sumber]