HP ialah sebuah jenama yang tidak asing lagi apabila bercakap mengenai penawaran pelbagai jenis komputer riba untuk tujuan produktiviti, pembelajaran dan juga riadah. Baru-baru ini mereka telah mengadakan acara HP Imagine di ibu pejabat mereka di Palo Alto, California dan memperlihatkan sejumlah penawaran komputer riba AI yang baharu.HP I
Dua komputer riba yang diperlihatkan di acara tersebut termasuklah HP OmniBook Ultra Flip dan juga HP EliteBook X, kedua-dua komputer riba produktiviti AI yang mendekati konsep produktiviti dengan cara-cara berbeza.
Bermula dengan HP OmniBook Ultra Flip, ia tampil dengan paparan skrin OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 3K yang boleh dilipat ke belakang untuk digunakan sebagai sebuah tablet. Ia tampil dengan paparan skrin yang boleh dimanfaatkan sebagai “kanvas digital” dan mempunyai pad sesentuh yang hadir dengan tindakbalas haptik untuk pengalaman menatal tetingkap yang selesa.
Dikuasakan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V, HP OmniBook Ultra Flip menjanjikan prestasi perkomputeran yang bukan sahaja hebat dan berkuasa, tetapi juga jangkahayat bateri yang cukup lama sekali dan mampu memainkan video secara luar talian selama 20 jam dengan satu pengecasan penuh.
Bersama-sama cip pemprosesan tersebut ialah beberapa komponen AI baru, termasuklah perisian HP Wolf Security, kamera 9MP yang tajam dan memperlihatkan rakaman video yang cantik, dan pembesar suara dan mikrofon oleh Poly Audio yang memastikan sesi-sesi telesidang anda berlangsung secara lancar.
HP juga mengatakan bahawa komputer riba ini menggunakan bahan binaan kitar semula, dengan 90 peratus bahan logam adalah logam kitar semula, dan 50 peratus daripada bahan plastik digunakan adalah plastik PCR.
Bagi anda yang mahukan sebuah komputer riba yang lebih tradisional dan padat, HP EliteBook X mungkin untuk anda. Dikuasakan oleh siri cip pemprosesan AMD Ryzen PRO dengan pilihan untuk sehingga 64GB memori LPDDR5X, komputer riba ini sesuai bukan sahaja untuk tujuan produktiviti pejabat biasa, tetapi juga boleh dimanfaatkan untuk sejumlah tugasan teknikal seperti suntingan dan olahan video ataupun objek 3D, pengiraan aritmetik dan sebagainya.
Ia juga tampil dengan perisian sekuriti HP Wolf dan kelebihan-kelebihan AI sama yang diperlihatkan pada HP OmniBook Ultra Flip. Satu keunikan pada HP EliteBook X ini ialah ia juga menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti tembaga yang digunakan semula untuk sistem penyejukannya, dan 20 peratus daripada bingkai paparan diperbuat daripada minyak masak yang dikitar semula.
HP OmniBook Ultra Flip diumumkan sudahpun tiba di beberapa pasaran terpilih pada harga bermula $1449.99, manakala HP EliteBook X pula akan diperlihatkan sekitar bulan Disember ini pada harga yang akan diumumkan.