Meta sedia melancarkan perkhidmatan Threads dengan menggunakan nama domain .net. Ketika pengenalannya, sebuah perkhidmatan lain menggunakan nama domain Threads.com, yang menawarkan perkhidmatan seumpama Slack. Namun, beberapa bulan yang lepas, perkhidmatan berkenaan telah diambil-alih oleh Shopify, dan kini nampaknya nama domain .com berkenaan telah beralih kepada pihak Meta.
Melalui kemaskini hak pemilikan domain, Threads.com kini dilihat telah dimiliki oleh Meta. Ia tidak diketahui lagi berkenaan bilakah pihak Meta akan mengalihkan keseluruhan perkhidmatan mereka daripada Threads.net kepada Threads.com – atau memilih untuk terus menggunakan domain .net sahaja buat masa ini.
Threads pada hari ini sedia mempunyai lebih 200 juta pengguna aktif setiap bulan, dan semestinya nama URL akan memainkan salah satu perkara penting apabila perkhidmatan berkenaan cuba dipasarkan dengan lebih meluas lagi. Sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya untuk Threads oleh Meta ini.