Pandang Pertama Samsung Galaxy S24 FE – Lebih Besar dan Cerdas
Effi Saharudin
Siri Samsung Galaxy FE ditawarkan ke pasaran saban tahun sebagai model lebih mampu kepala peranti mercu Galaxy S dengan spesifikasi yang sedikit berbeza. Tahun ini mereka melakukan sedikit perubahan kerana Samsung Galaxy S24 FE ditawarkan sebagai model alternatif kepada Galaxy S24+ dan bukannya Galaxy S24. Ini pandang pertama saya selepas menguji Samsung Galaxy S24 FE beberapa hari yang lalu
Spesifikasi
| Samsung Galaxy S24 FE | |
|---|---|
| Skrin | 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 60-120Hz, HDR10+ Gorilla Glass Victus+ |
| Pemproses | Exynos 2400e |
| Cip | 1x 3.11 GHz Cortex-X4 2x 2.9 GHz Cortex-A720 3x 2.59 GHz Cortex-A720 4x 1.95 GHz Cortex-A520 |
| Cip Grafik | Xclipse 940 |
| RAM | 8GB RAM LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50mp f/1.8 OIS, (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 8MP f/2.4, OIS (Telefoto) |
| Kamera Swafoto | 10 MP f/2.4 |
| Bateri | 4700 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 15W |
| SIM/Telefoni | Nano SIM 5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari bawah skrin Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM 3,299 (8/256GB) RM 3,899 (8/512GB) |
Skrin
Skrin tahun ini meningkat 6.7″ Dynamic AMOLED 2X dengan kadar segar semula 120Hz tetapi bukan dari jenis LTPO. Bezel peranti adalah sekata walaupun tidak begitu nipis. Skrin juga rata membuatkan tiada isu kandungan melimpah ke sisi apabila ditonton menggunakan mod skrin penuh. Kandungan HDR10+ boleh dipaparkan serta terdapat pengimbas cap jari terbina di bawah skrin. Terdapat juga sistem imbasan menggunakan wajah sekiranya anda lebih selesa dengan kaedah nyahkunci ini.

Rekaan
Rekaan S24 FE adalah sama dengan Galaxy S24+ dan juga Galaxy A55. Tahun ini Samsung menggunakan satu rekaan pada lebih daripada satu peranti sehingga saya sukar membezakannya dengan sekali pandang. Bingkai tubuh adalah daripada aluminium biasa sahaja dan bukannya Armor Aluminium yang tahan lasak. Bahagian sisi adalah rata namun masih lagi selesa di dalam genggaman tangan. Di belakang terdapat panel kaca yang memerangkap kotoran dengan agak mudah.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan laras audio yang diperbuat daripada logam. Butang selesa ditekan dan nampak teguh. Port pengecasan USB-C, kekisi audio dan talam SIM diletakkan di bahagian bawah peranti. Peranti turut dilengkapi sistem audio stereo bagi memberikan pengalaman audio yang seimbang.
Tiga kamera di belakang disusun secara menegak dengan ia terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP dan telefoto 8MP. Perbezaan sistem kamera ini dengan Galaxy S24+ ialah lensa telefoto adalah lebih besar iaitu 10MP. Perubahan juga dilakukan pada kamera swafoto 10MP yang lebih kecil berbanding 12MP pada Galaxy S24+. Antara cara mengurangkan kos yang dilakukan Samsung pada model FE tahun ini ialah mengubah spesifikasi kamera.

Walaupun bonggol kamera tidak begitu tinggi, ia masih menyebabkan kamera tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Samsung tidak memberikan kerangka dengan setiap pembelian maka anda perlu membeli kerangka sendiri untuk memberikan pertahanan pada tubuh dan membolehkan peranti diletakkan rata di atas permukaan meja.

Peranti juga masih melepasi piawaian kalis air dan debu IP68 yang adalah perlu bagi sebuah peranti mercu. Samsung juga memberikan sokongan NFC tetapi tiada bicu audio, sokongan mikro SD atau pemancar infra merah.
Penggunaan dan Perisian
Sistem operasi One UI 6.1.1 berasaskan Android 14 digunakan yang sama dengan Z Fold6, Z Flip6 dan siri S24 baru-baru ini. Dari segi rekaan antaramuka ianya ringkas, mudah digunakan dan lancar ketika kami gunakan walaupun untuk tempoh yang agak pendek. Ini tidaklah mengejutkan kerana S24 FE dilengkapi cip Exynos 2400E yang dipadankan dengan memori 8GB RAM.

Pemproses ini adalah versi lebih ekonomi berbanding Exynos 2400 yang digunakan pada Galaxy S24+. Perbezaan ialah 10 teras CPU beroperasi pada kelajuan yang lebih rendah. Harus diakui 8GB RAM adalah kecil bagi sebuah peranti mercu. Untuk mengubati masalah ini ciri RAM Plus boleh menambah 8GB RAM lagi secara maya apabila diperlukan.

Persamaan tidak terhad kepada ciri-ciri sistem operasi semata-mata kerana Samsung memberikan sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti juga pada Galaxy S24 FE. Ini meletakkannya setanding dengan siri S24, Z Fold6 dan Z Flip5.
Galaxy AI sekali lagi diberikan tumpuan dengan terdapat sokongan Sketch to Image, Portrait Studio, Composer, Note Assist, Interpreter dan Circle to Search. Sokongan Galaxy AI secara percuma adalah sehingga penghujung 2025 sahaja.
Kesimpulan
Di Malaysia Samsung Galaxy S24 FE dijual pada harga bermula RM3299 yang adalah lebih murah berbanding Galaxy S24+ yang dijual pada harga bermula RM3999. Maka ini menjadikan Galaxy S24 FE peranti alternatif yang agak menarik bagi mereka yang mahukan sebuah peranti mercu Samsung tahun ini. Kekuatan dilihat pada cip Exynos 2400E yang masih berkuasa dan sokongan kemas kini sistem operasi selama 7 tahun.

Pro
- Skrin lebih besar berbanding model Galaxy FE sebelum ini.
- Tubuh selesa dalam tangan.
- Kalis air IP68.
- Perisian sama dengan Z Fold6 dan Z Flip6.
- Sokongan kemas kini perisian selama 7 tahun.
Kontra
- Saiz RAM 8GB sahaja yang kecil untuk peranti mercu.
- Pengecasan sekadar 25W sahaja.