AMD Dijangka Melancarkan Ryzen 7 9800X3D Pada Bulan Depan – Dua Lagi CPU Pada Awal 2025
Nazrin
AMD baru sahaja melancarkan siri cip pemprosesan desktop mereka, AMD Ryzen 9000 pada bulan lepas. Akan tetapi nampaknya perkara ini tidak begitu menarik minat ramai pengguna kerana prestasinya tidak jauh berbanding penawaran sedia ada di pasaran.
Peniris maklumat komponen PC terkemuka, Harukaze5719 telah mengatakan bahawa butiran daripada acara media yang memperlihatkan papan induk GIGABYTE X870 menyatakan bahawa AMD akan menyediakan tiga CPU untuk siri X3D terbaru, termasuklah AMD Ryzen 7 9800X3D, AMD Ryzen 9 9900X3D dan AMD Ryzen 9 9950X3D.
Melalui maklumat yang sama juga, nampaknya AMD akan memperkenalkan cip pemprosesan AMD Ryzen 7 9800X3D terlebih dahulu pada bulan Oktober 2024, mungkin bersempena dengan pelancaran cip pemprosesan Intel Arrow Lake.

Malah, butiran tertiris lain mengatakan bahawa cip ini akan dilancarkan sebelum Intel melancarkan penawaran mereka dalam harapan untuk mencuri jumlah jualan dari Intel. Dalam pada itu, ia juga dikatakan bahawa dua lagi CPU yang lebih berkuasa, AMD Ryzen 9 9900X3D dan AMD Ryzen 9 9950X3D pula hanya akan diperlihatkan pada awal tahun depan, mungkin bersama-sama penawaran CPU untuk platform yang lain.
Cuma isunya sekarang ialah tidak banyak butiran yang diketahui mengenai siri cip pemprosesan AMD Ryzen 9000X3D ini, kecuali bahawa ia dijangka akan tampil dengan prestasi yang lebih hebat, khususnya untuk tujuan gaming.
[sumber]Tom’s Hardware[/sumber]