Samsung Galaxy S24 FE diumumkan secara rasmi lewat malam ini dengan ia adalah sebuah lagi peranti dalam siri FE yang menawarkan ciri mercu pada peranti yang lebih mampu milik. Tahun ini satu perubahan dilakukan kerana ia dilengkapi skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz yang lebih besar jika dibandingkan dengan skrin 6.4″ yang digunakan pada model Galaxy FE yang terdahulu.
Skrin dipadankan dengan cip Exynos 2400e yang merupakan cip yang kuasanya sedikit dikurangkan berbanding Exynos 2400 yang digunakan pada Galaxy S24+. Cip dipadankan dengan memori 8GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri 4700 mAh dengan pengecasan 25W
Pada bahagian ia menggunakan lensa sudut lebar 50 MP dengan OIS, lensa ultra sudut lebar 12MP dan lensa telefoto 8MP dengan OIS yang boleh melakukan zum optikal sehingga 3X. Di hadapan pula sensor 10MP digunakan pada kamera swafoto.
Sistem operasi yang digunakan ialah One UI 6.1.1 berasaskan Android 14. Samsung memberikan sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti buat pertama kali pada peranti siri Galaxy FE.
Menerusi One UI 6.1.1 ciri Galaxy AI seperti Sketch to Image, suntingan gambar, Composer, Note Assist dan Live Translate boleh digunakan. Ini meletakkan ciri AI pada S24 FE setanding dengan yang ditawarkan pada Z Fold6 dan Z Flip6.
Tubuh peranti melepasi piawaian kalis debu dan air IP68, mempunyai pengimbas cap jari bawah skrin, speaker stereo, mod Vision Booster, NFC, dan skrin tahan lasak Gorilla Glass Victus+.
Di Malaysia, Samsung Galaxy S24 FE ditawarkan pada harga RM3299 untuk model 8/256 GB dan RM3899 untuk model 8/512GB. Ia sudah boleh dibeli hari ini dalam pilihan warna Blue, Graphite, Gray dan Mint.