Xiaomi hari ini memperkenalkan siri telefon pintar terbaru mereka, iaitu Xiaomi 14T dan juga Xiaomi 14T Pro. Selain fokus pada spesifikasi dan sokongan kamera yang dikuasakan Leica, pihak Xiaomi turut menyertakan sejumlah ciri-ciri kecerdasan buatan janaan melalui telefon pintar terbaru mereka.
Untuk tujuan ini, Xiaomi bekerjasama dengan pihak Google. Ciri Circle To Search yang pada awalnya diperkenalkan bersama Samsung pada awal tahun 2024 ini, kini turut hadir bersama siri Xiaomi 14T ini. Tidak setakat itu, ia akan hadir bersama Google Gemini, sekaligus memudahkan para pengguna berinteraksi dengan sokongan kecerdasan buatan Google berkenaan dalam bertanyakan pelbagai perkara.
Xiaomi sendiri turut hadir bersama sebuah aplikasi kreatif yang memudahkan anda menghasilkan video berasaskan tema. Pengguna hanya perlu memilih sejumlah video, dan seterusnya memasukkan input untuk menghasilkan video bertemakan apa, dan ia akan menjana secara automatik.
Akhir sekali, Xiaomi turut menyertakan sokongan terjemahan masa-nyata, membolehkan anda menggunakannya ketika bercuti dinegara lain, mahupun ketika dalam panggilan video.
Ke semua ciri ini akan hadir terbina bersama-sama telefon pintar terbaru Xiaomi 14T ini.