Skor ulasan pada perniagaan dalam carian Google kerap saya gunakan untuk memilih sama ada untuk pergi ke lokasi atau menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan. Tetapi sejak akhir-akhir ini seperti wujud kartel ulasan palsu ditinggalkan menyebabkan skor ulasan di laman tidak setanding dengan mutu perkhidmatan sebenar. Tetapi Google mungkin sedang memerangi amalan keji ini dengan memaparkan label amaran.
Menurut laporan Engadget, label amaran ulasan palsu telah dibuang pada sesebuah perniagaan mula muncul di United Kingdom. Ia dikesan oleh seorang pengguna yang berkongsi tangkapan layar di atas. Google belum secara rasmi mengesahkan kewujudan ciri ini cuma dalam laporan Search Engine Roundtable mereka telah melakukan perubahan pada polisi mengenai ulasan palsu yang ditinggalkan pengguna.
Bagaimana Google boleh mengesan sesebuah ulasan tidak pula diterangkan. Tetapi mekanisme yang digunakan mungkin sama seperti sistem mengesan ulasan yang ditinggalkan dengan niat jahat atau lebih dikenali sebagai review bombing. Notis amaran hanya diaktifkan di UK sahaja ketika ini tetapi diharap boleh diberikan ke seluruh dunia memandangkan ulasan palsu menyukarkan orang ramai melakukan pilihan yang tepat.