Awal tahun lalu, Xiaomi melancarkan peranti mercu siri Xiaomi 14 ke pasaran Malaysia yang membawakan spesifikasi telefon pintar mercu yang memfokuskan kepada kebolehan kamera. Kameranya bukanlah sekadar telefon pintar fotografi yang biasa, ia dijana dengan kerjasama bersama Leica, malah rekaannya sendiri membawakan rekaan yang unik. Ini kerana Xiaomi 14 Ultra ditawarkan dengan beberapa kit untuk fotografi yang dapat memberikan anda pengalaman menggunakan telefon seperti menggunakan kamera sebenar. Xiaomi 14 Ultra adalah variasi tertinggi yang ditawarkan untuk telefon pintar ini. Namun dibawah siri ini ada juga pilihan yang lebih mampu milik dimana harganya sedikit rendah, sesuai dengan setiap jenis poket pengguna.
Terbaru juga, Xiaomi telah melancarkan satu lagi variasi iaitu siri Xiaomi 14T. Setiap siri T yang dilancarkan membawakan tanda harga yang boleh dikatakan lebih mampu milik. Walaupun begitu, fokus mereka masih tetap sama, iaitu memfokuskan kepada keupayaan kamera. Untuk siri Xiaomi 14T kali ini, peranti ini memfokuskan lebih kepada penggambaran cahaya malap. Jadi sekiranya anda seorang yang gemar mengambil gambar pada waktu malam atau sering membawa personaliti fotografi jalanan dalam hasil gambar anda, ini adalah beberapa ciri yang Xiaomi sertakan pada Xiaomi 14T Pro untuk membolehkan anda menikmati pengalaman fotografi yang lebih baik.
Lensa Leica Summilux Untuk Penggambaran Malam Yang Lebih Jitu
Xiaomi 14T Pro ini dilengkapi dengan lensa Leica Summilux yang baru dimana ia mampu untuk menangkap lebih banyak jumlah cahaya sehingga 36%. Ini menjadikannya mampu menghasilkan gambar yang lebih cerah berbanding generasi siri T sebelumnya walaupun anda berada dalam persekitaran yang gelap.
Bukan sekadar itu, kadang kala apabila menangkap gambar dalam suasana yang malap ini, jika kita naikkan kecerahannya menggunakan kamera sekalipun, kadang kala ia akan meninggalkan kesan hingar pada gambar. Tetapi dengan Xiaomi 14T Pro ini, anda boleh menghasilkan gambar yang cukup pencahayaan, tajam dan memberikan pewarnaan yang jitu. Malah, kesan bokehnya juga nampak kemas dan cantik.
Untuk pengetahuan anda, dengan adanya lensa Leica Summilux ini, ia juga dapat membantu proses penggambaran menjadi lebih artistik. Ini kerana bukaan aperture yang lebih luas ini membolehkan kita untuk menggunakan kamera dengan kelajuan shutter yang lebih pantas, dan dalam masa yang sama mengurangkan potensi gambar kabur ketika berlaku pergerakan. Dalam kata lain, ciri ini membolehkan anda untuk mengambil gambar bergerak dengan lebih jelas walaupun pencahayaan persekitaran sedang menguji kesabaran kita.
Dilengkapi Dengan Sensor Imej Light Fusion 900 Untuk Penggambaran Dalam Apa Jua Situasi Pencahayaan
Kadang kala, kamera yang kita ada tidak dapat menghasilkan gambar yang sama dengan apa yang dilihat dengan mata kepala kita sendiri. Oleh sebab itu wujudnya teknologi HDR yang dapat meningkatkan keupayaan menangkap gambar dengan lebih baik dalam apa pun situasi pencahayaan, sama ada terlalu gelap atau terlalu terang, tanpa kehilangan butiran asal.
Tetapi, teknologi HDR pada sesetengah telefon pintar boleh menghasilkan kesan hingar yang jelas pada gambar jika ia digunakan melebihi keupayaannya. Ini akan menampakkan kualiti gambar sedikit tidak kemas dan sedikit kasar. Tetapi masalah ini dapat dikurangkan dengan bantuan ciri sensor imej Light Fusion 900 pada Xiaomi 14T Pro. Sensor imej ini dilengkapi dengan teknologi yang membantu untuk merakamkan gambar agar lebih jelas dengan butiran yang terperinci walaupun anda berada dalam persekitaran yang terlalu terang ataupun terlalu gelap. Hasil gambar akan menampakannya sangat seimbang dari segi ketajaman dan pewarnaannya.
Kalau anda perasan juga, jika kita menangkap gambar, tangan kita perlu statik untuk beberapa ketika agar dapat mengelakkan terjadinya kesan imej berganda dua (ghosting effect) pada gambar. Tetapi ciri sensor imej Light Fusion 900 inilah yang membantu untuk mengurangkan masalah ini berlaku, sekaligus dapat memberikan anda hasil rakaman yang lebih jitu dengan pewarnaan yang lebih tepat seperti apa yang kita nampak dengan mata kasar.
5 Jarak Fokus Untuk Pelbagai Sudut Penggambaran
Tadi kita sudah bercerita tentang ciri-ciri kamera bagi Xiaomi 14T Pro. Namun tidak lengkaplah kalau kita beli telefon pintar ini tanpa mengetahui spesifikasi penuh untuk keupayaan kameranya. Xiaomi 14T Pro ini dilengkapi dengan tri-kamera yang menyokong teknologi Leica dimana ia menggabungkan lensa 50MP untuk kamera utama, 50MP untuk kamera telefoto dan 12MP untuk sudut ultra lebar. Ketiga-tiga lensa ini dilengkapi dengan bukaan aperture yang luas untuk menambah baik pengalaman penggambaran malam pengguna.
Kamera Xiaomi 14T Pro ini juga dilengkapi dengan teknologi In-Sensor Zoom yang mana ia menawarkan 5 jenis jarak focus (Focal length) dimana ia membolehkan anda menghasilkan seni rakaman yang estetik kerana setiap jarak fokus membawakan seni fotografi yang berbeza. Contohnya disni, jarak fokus 15mm membolehkan anda untuk mendapatkan gambar sudut ultra lebar yang terdiri daripada pemandangan atau persekitaran yang luas.
23mm pula adalah sudut lebar untuk fotografi harian biasa. 46mm sangat berguna jika anda ingin menangkap gambar potret jalanan. 60mm untuk penggambaran potret yang dekat tetapi masih mengekalkan keperincian yang baik, dan terakhir sekali adalah 120mm membantu bagi penggambaran telefoto untuk subjek yang jauh atau jika anda ingin masukkan semua elemen di persekitaran dalam satu gambar.
Memandangkan pembangunan telefon pintar ini menerima kerjasama dengan Leica, anda boleh juga mencuba beberapa mod penggambaran daripada mereka melalui Xiaomi 14T Pro ini. Antaranya adalah Leica Authentic Mode, Leica Vibrant Mode, dan beberapa lagi penuras (filter) penggambaran leica yang terdiri daripada Leica Vivid, Leica Natural, Sepia dan macam-macam lagi.
Ciri-Ciri Menarik Lain Yang Menjadikannya Peranti Yang Serba Lengkap
Untuk pengetahuan anda, kesemua hasil penggambaran yang cantik ini juga turut dibantu oleh algoritma pemprosesan imej AI mercu daripada Xiaomi, iaitu Xiaomi AISP yang mana ciri ini sebelumnya ditawarkan pada Xiaomi 14 Ultra mereka, dan kali ini pula ditawarkan pada siri Xiaomi 14T.
Selain itu, dalam era yang serba serbi semuanya nak dipadankan dengan ciri kecerdasan buatan (AI), kini Xiaomi 14T Pro ini juga tidak ketinggalan dalam menyertakan ciri yang sama. Kini, anda boleh menggunakan ciri Gemini Assistant, Gemini Live, Circle To Search, AI Interpreter, AI Photo Edit, dan pelbagai ciri AI lain dengan mudah pada telefon pintar ini.
Kebolehan yang gah ini semestinya tidak akan berjalan dengan lancar jika cip pemprosesan yang digunakan adalah biasa-biasa. Untuk Xiaomi 14T Pro ini, telefon pintar ini dijana dengan cip MediaTek Dimensity 9300+ yang mana sudah tentu dapat memberikan pengalaman penggunaan keseluruhan yang lebih memuaskan.
Jika anda tertanya-tanya tentang ketahanan bateri untuk kegunaan seharian, Xiaomi 14T Pro ini dilengkapi dengan kapasiti bateri 5000mAh, yang dikatakan mampu bertahan 14% lebih lama daripada generasi sebelumnya. Untuk pengecasan pula, ia dilengkapi dengan pengecasan pantas 120W HyperCharge berwayar yang mampu mengecas penuh dalam masa lebih kurang 18 minit 35 saat dan 50W untuk HyperCharge nirwayar dalam masa 20 minit untuk 50% pengecasan.
Apa Lagi Yang Anda Cari?
Dengan harga hanya bermula RM1,899 hingga RM3,499, yang mana penggambarannya dibantu oleh teknologi Leica, siri Xiaomi 14T ini boleh dikatakan agak berbaloi dengan penawaran dan spesifikasinya. Mana tidaknya, untuk memiliki kamera Leica harganya boleh sampai puluhan ribu. Namun dengan hanya perlu membeli siri Xiaomi 14T ini, anda boleh dapatkan pengalaman menggunakan telefon pintar dengan keupayaan kamera Leica pada harga yang lebih mampu milik.
Bukan sekadar kameranya sahaja yang padu, tetapi telefon pintar ini juga dilengkapi dengan spesifikasi baik yang lain seperti cip pemprosesan yang terkini, kapasiti bateri yang besar dan ciri-ciri AI yang dapat memudahkan kehidupan seharian anda. Jadi, sekiranya anda berminat untuk memiliki telefon pintar ini, anda boleh dapatkannya melalui pengedar-pengedar rasmi Xiaomi di seluruh Malaysia, mi.com dan juga kedai-kedai atas talian rasmi mereka di Shopee dan Lazada.