Menunaikan umrah secara sendiri (DIY) adalah pilihan yang menarik dan boleh menjimatkan kos. Tidak dinafikan persediaan untuknya sedikit rumit dan leceh memandangkan banyak perkara perlu diambil kira. Ia termasuklah urusan tempahan tiket, hotel serta dokumen perjalanan yang juga perlu diuruskan sendiri demi merealisasikan impian untuk sampai ke kota Mekah.
Disebabkan kesedaran dan permintaan yang semakin banyak, Muslim Pro mula menawarkan perkhidmatan baharu yang memudah urusan untuk mengerjakan umrah termasuk persediaan yang diperlukan sebelum bertolak sehinggalah memahami langkah yang terlibat.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, pembangun dan penerbit Muslim Pro dan Qalbox, Nafees Khundker berkata, fungsi berkenaan ditawarkan di UK terlebih dahulu buat masa ini dan dijangka tiba untuk pengguna di Malaysia menjelang penghujung tahun 2024.
Berkongsi lanjut, kata Nafees, fungsi tersebut bukan sahaja membolehkan pengguna menempah pakej umrah dengan mudah dalam satu aplikasi. Bahkan boleh disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus masing-masing termasuklah tarikh perjalanan, pilihan kategori hotel dan perkhidmatan tambahan.
Bermakna pengguna boleh menyesuaikan perjalanan dengan memilih pakej yang sepadan dengan keutamaan masing-masing. Menariknya lagi, proses permohonan visa turut menjadi sebahagian daripada pakej tersebut dengan pengguna hanya perlu menyediakan semua dokumen penting yang diperlukan sahaja.
Sehingga kini, Muslim Pro merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila melepasi 170 juta pengguna di seluruh dunia, yang juga meraikan ulang tahunnya ke-15 dengan pelbagai inisiatif menarik. Bukan itu sahaja mereka sentiasa melihat Malaysia sebagai pemacu pertumbuhan utama bagi aplikasi ini kerana komuniti Muslim yang berpengaruh di Malaysia.
Selain itu Muslim Pro turut meraikan ulang tahunnya yang ke-15 dengan melancarkan dua inisiatif global yang mencerminkan komitmennya terhadap masyarakat Islam dunia. Pertama ialah pertandingan Adhan Global yang terbuka kepada semua umat Islam di seluruh dunia.
Ia diadakan melalui platform media sosial TikTok dan Instagram, di mana peserta boleh menghantar klip laungan adzan terbaik mereka melalui duet atau campuran semula kandungan yang dimuat naik oleh Muslim Pro.
Sebagai sebahagian daripada komitmen untuk mewujudkan dunia yang lebih inklusif, Muslim Pro turut melancarkan Projek Braille Al-Quran yang bertujuan untuk menyediakan Al-Quran dalam format Braille untuk umat Islam yang mempunyai kekurangan dari segi penglihatan.
Projek ini bertujuan untuk mengumpul sebanyak AS$100,000 bagi mengedarkan set Al-Quran Braille yang mengandungi 30 jilid, pembaca pen digital, pengecas dan earphone kepada penerima di Indonesia, India dan Mesir.