Carian
ChatGPT Mempunyai 350 Juta Pengguna Bulanan Tetapi Hanya 3% Pelanggan Berbayar
September 28, 2024 Effi Saharudin

ChatGPT kini mempunyai 350 juta pengguna bulanan sehingga Jun lalu menurut laporan The New York Times. Tetapi daripada jumlah ini hanya 10 juta sahaja adalah pengguna berbayar dengan langganan $20 sebulan. Sungguhpun pendapatan syarikat mencecah $300 juta pada bulan Ogos yang lalu, OpenAI masih diramalkan mencatatkan kerugian $5 bilion pada tahun ini kerana pelbagai kos operasi yang ditanggung.

ChatGPT

Oleh sebab ini dalam laporan yang sama OpenAI dijangka meningkatkan bayaran langganan ChatGPT ke $22 sebulan menjelang penghujung tahun sebelum dinaikkan berperingkat ke $44 sebulan menjelang 2029. Isu mengenai bagaimana syarikat boleh meneruskan operasi dengan kos yang semakin meningkat dilihat sebagai antara sebab mengapa OpenAI kehilangan puluhan kakitangan berprofil tinggi sejak permulaan 2024.

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, CTO dan dua pegawai kanan bahagian penyelidikan OpenAI meletakkan jawatan minggu ini. Daripada 11 pengasas syarikat, hanya 2 yang tinggal dengan salah seorangnya Greg Brockman kini “bercuti” atas sebab-sebab peribadi. Selepas dipecat OpenAI pada penghujung 2023, CEO Sam Altman mengukuhkan kedudukan beliau di dalam syarikat.

Komen