Carian
Kekayaan Mark Zuckerberg Mencapai $200 Bilion – Kini Orang Ke-4 Terkaya Di Dunia
September 29, 2024 Aman

Mark Zuckerberg, pengasas dan juga CEO Meta kini dilihat telah meningkatkan kekayaan pada tahun 2024 sahaja, daripada kurang $100 bilion kepada mencapai lebih $200 bilion pada hari ini. Peningkatan drastik ini juga sekaligus membawa Mark Zuckerberg kini sebagai orang ke-4 terkaya di dunia.

Meta sedia popular dengan penawaran platform sosial seperti Facebook, Instagram, Messenger, WhatsApp dan juga terbaru Threads. Tidak setakat itu, Meta turut mempunyai pelaburan tinggi dalam arena kaca mata pintar, selain penawaran model kecerdasan buatan – yang mana menjadi perbualan ramai kebelakangan ini.

Meta AI yang diintegrasikan pada pelbagai aplikasi dibawah Meta memperlihatkan menghampiri 500 juta pengguna bulanan, dan Mark Zuckerberg mengatakan ia akan menjadi pembantu maya dengan kecerdasan buatan yang paling tinggi digunakan diseluruh dunia menjelang penghujung 2024 ini.

Malah, demo kaca mata pintar oleh Mark Zuckerberg baru-baru ini turut memperlihatkan potensi dalam arena berkenaan, dan bagaimana Meta menerajuinya berbanding pelbagai syarikat lain yang masih jauh dibelakang.

Ini semua membawa kepada peningkatan nilai kekayaan Mark Zuckerberg pada tahun 2024 ini. Menduduki dihadapan Mark Zuckerberg dalam tangga manusia paling kaya di dunia adalah Elon Musk (Tesla) dengan nilai kekayaan $272 bilion, Jeff Bezos (Amazon) dengan nilai kekayaan $211 bilion, dan akhir sekali Bernard Arnault (LVMH) dengan nilai kekayaan $207 bilion. Mark Zuckerberg di tangga ke-4 dengan nilai kekayaan $201 bilion.

Komen