Teknologi Kecerdasan Buatan Sedia Ada Boleh Mengatasi Ujian Captcha Tanpa Masalah
Nazrin
Captcha ialah sebuah ciri sekuriti yang memastikan bahawa sesiapa yang mahu mengakses bahagian-bahagian tertentu sebuah laman web adalah seorang manusia yang sebenar dan bukan robot yang mahu mencuri kandungan daripada laman tersebut.
Sistem Captcha secara lazimnya hadir dengan satu soalan yang perlu dijawab dengan cara mengetik gambar-gambar yang diminta oleh soalan tersebut, dan sekiranya berjaya, anda boleh ke laman seterusnya, dan jika tidak, anda akan perlu menjawabnya sehingga berjaya.

Terkini, ia dilaporkan bahawa teknologi kecerdasan buatan sedia ada nampaknya sudah berjaya untuk mengatasi ujian Captcha ini, khususnya yang menggunakan teknologi reCaptchav2 oleh Google. Melalui sebuah kertas kerja yang baru dikeluarkan, beberapa penyelidik nampaknya telah mengajar sistem kecerdasan buatan cara untuk melihat imej dengan tepat menggunakan 14 ribu gambar.
Setelah dilatih, ia didapati bahawa sistem kecerdasan buatan ini boleh mengatasi ujian ReCaptcha v2 dengan kejituan 100 peratus, sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Walaupun begitu, ini dilihat hanya benar dengan sistem ReCaptcha v2, dimana ujian ReCaptcha v3, yang memerlukan input pengguna yang lebih dinamik (seperti menarik gambar ke lokasi yang sepatutnya) masih belum dapat diatasi dengan pembelajaran mesin.
Penyelidikan ini cuba untuk memperlihatkan bahawa walaupun teknologi kecerdasan buatan boleh dilatih untuk mengatasi ujian Captcha lama ini, ia masih lagi sebuah sistem sekuriti yang baik untuk menghalang akses kepada bot-bot di internet yang dibangunkan untuk mencuri kandungan.
[sumber]Cornell University[/sumber]