Suku keempat tahun 2024 kini bermula. Ini bermakna di China pengeluar peranti akan sedia melancarkan peranti mercu generasi seterusnya dengan cip lebih berkuasa. Antara cip yang dijangka tiba adalah Snapdragon 8 Gen 4 oleh Qualcomm dan Dimensity 9400 oleh MediaTek. Peniris China terkenal Digital Chat Station baru-baru ini mendedahkan yang anda mungkin akan setia dengan peranti mercu sedia ada.
Ini kerana kedua-dua cip Snapdragon 8 Gen 4 dan Dimensity 9400 menggunakan rekaan 3nm oleh TSMC dan menurut sumber, kos pembangunan dan pengeluarannya adalah 20% lebih mahal. Untuk Snapdragon, satu cip memakan kos $190 iaitu sekitar RM789. Sementara cip Dimensity menelan kos sebanyak $155 iaitu sekitar RM644. Dengan kata lain, harga jualan telefon pintar mercu generasi baharu akan menjadi lebih mahal.
Ini selari dengan ramalan Ming Chi-Kuo yang menyatakan harga jualan telefon pintar generasi seterusnya turut boleh mencapai 30% lebih mahal. Dalam kiraan saya, jika Samsung Galaxy S24 Ultra 12/512 GB berharga RM6799 – bermakna Galaxy S25 Ultra boleh mencapai lebih RM8000. Apa-apa pun, ini hanyalah ramalan dan kita harus tunggu dan nantikan pengumuman rasmi akan datang.