Sejak Android 10, Google tidak lagi menggunakan nama pencuci mulut sebagai nama rasmi sistem operasi Android sebaliknya hanya menggunakan nombor. Walaupun begitu, untuk pembangunan setiap Android masih ada wakil pencuci mulut mengikut giliran abjad seperti Android 14 dengan U iaitu Upside Down Cake, dan Android 15 adalah V dengan Vanilla Ice Cream. Untuk Android 16, Google kembali kepada B iaitu Baklava.
Tidak dijelaskan kenapa Google tidak sambung dengan huruf W. Kod nama lain baginya adalah SDK version (36) dan perkara ini tidak akan memberi kesan kepada pengguna atau pun pembangun. Google turut tidak sengaja memilih nama ini kerana setiap proses pembangunan ada arusnya dan nama ini diberikan mengikut fasa pembangunan Android 16. Lagi pun, kod nama Android B pun masih belum digunakan kerana ia bermula dengan Android 1.5 Cupcake.
Bukan itu sahaja, untuk Android 16 Google dilaporkan merancang untuk melancarkan pada seawal pertengahan tahun 2025 dan bukan seperti biasa iaitu pada suku keempat setiap tahun. Apa-apa pun pembangunan Android 16 masih di peringkat awal dan sebarang tarikh pelancaran boleh berubah pada bila-bila masa. Android 15 stabil pun masih belum meluas, setakat ini hanya Funtouch OS 15 sahaja yang ada – Pixel 9 pun belum menerimanya lagi.