Amat menjengkelkan apabila WhatsApp mula membenarkan mesej dipadam atau disunting. Ini kerana kadangkala kita nampak kandungan teks tersebut pada notifikasi, cuma apabila ia telah dipadam atau disunting – sebaik sahaja kita tekan notifikasi tadi semuanya telah berubah dengan kandungan terkini.
Dalam artikel ini saya kongsi cara membaca mesej yang telah dipadam. Sebelum ini saya menggunakan aplikasi WhatsApp Mod untuk membaca mesej yang telah dipadam tetapi kini ada cara menggunakan peranti Android untuk membaca mesej yang telah tidak lagi wujud ini.
Ciri ini adalah Notification History iaitu sejarah notifikasi yang anda boleh buka di dalam tetapan sistem bahagian notifikasi. Jika tidak ditemui, cari sahaja kata kunci History. Semua notifikasi yang diterima dalam tempoh 24 jam lepas akan disimpan. Ini termasuk paparan notifikasi dengan kandungan teks yang belum disunting atau dipadam ia boleh dilihat melalui laman tetapan ini.
Cuma, ia turut ada had. Disebabkan kebanyakan peranti Android menguruskan notifikasi dengan bijak, mesej dari orang yang sama dalam platform yang sama akan dikumpulkan. Contohnya, jika seorang hantar tiga mesej serentak – anda mungkin hanya dapat melihat salah satu sahaja.
Perkara ini turut memberi kesan kepada WhatsApp Group. Perkara ini terhad kepada kandungan teks yang pendek dan ringkas yang boleh dibaca tanpa mengembangkan saiz buih talam notifikasi. Lebih menarik ciri ini tersedia kepada majoriti peranti Android asalkan ia mempunyai Google Play Services. Walaupun anda tidak boleh membaca mesej penuh, sekurang-kurangnya sekarang anda boleh tahu niat sebenar seseorang sebelum mengubah mesej asal.