Carian
Windows 11 Versi 24H2 Kini Boleh Dimuat-Turun
October 2, 2024 Aman

Bagi para pengguna sistem operasi Windows 11, kini Microsoft telah memperkenalkan versi terbaru mereka, iaitu Windows 11 versi 24H2. Versi terbaru ini sudah boleh dimuat-turun oleh semua pengguna seluruh dunia, dan kemaskini automatik mula ditawarkan secara berperingkat kepada pengguna Windows 11 sedia ada.

Windows 11 versi 24H2 menawarkan sejumlah perkara baharu bersama-sama dengannya, termasuk ciri-ciri Copilot+ untuk memudahkan pengguna dalam tugasan produktiviti. Kemaskini baharu ini turut memfokuskan kepada integrasi telefon ke komputer, dimana anda boleh melihat status dan keadaan semasa telefon dengan pantas melalui menu Start. Ciri ini dijayakan melalui penggunaan sokongan Phone Link.

Disamping itu, versi terbaru ini menyertakan sokongan untuk piawaian WiFi 7 yang terbaru, bersama-sama kemaskini pada antaramuka halaman tetapan, dan juga File Explorer. Bahagian talam sistem turut menerima sedikit kemaskini dalam memberikan keselesaan kepada pengguna.

Windows 11 versi 24H2 turut memfokuskan kepada sokongan kawalan privasi lebih baik pada akses rangkaian WiFi, selain pengurusan tenaga pintar pada PC. Bagi para pembangun pula, anda boleh menggunakan ciri Sudo terus pada komputer Windows dengan mudah.

Untuk komputer yang menyokong Copilot+, Microsoft turut menyertakan beberapa perkara baharu,
termasuk sokongan “Super Resolution Photos” yang membolehkan anda meningkatkan kadar resolusi gambar dengan mudah, selain sokongan untuk memadam objek dalam gambar terus menggunakan Paint. Kedua-dua ciri ini memerlukan pengguna melakukan kemaskini pada aplikasi melalui Microsoft Store sebelum dapat menikmatinya. Ciri lain yang turut disertakan adalah Live Captions, dan juga Click to Do – yang membolehkan anda klik pada sebarang teks atau gambar, dan menggunakan sokongan kecerdasan buatan janaan dalam mendapatkan konteks lebih mengenainya.

Kemaskini baharu ini adalah kemaskini yang dilabelkan sebagai kemaskini besar, sekaligus akan membuatkan proses naik-taraf ini mengambil sedikit masa pada komputer masing-masing. Bagi anda yang menggunakan Windows 11, anda boleh ke halaman Settings > Windows Update dalam memulakan proses naik-taraf hari ini.

Komen