Microsoft Copilot baru-baru ini turut menerima kemas kini baharu yang cukup mengejutkan. Ini kerana banyak yang telah ditambah untuk menjadikan Copilot sebagai chatbot AI yang boleh bersaing sengit dengan yang lain. Kemas kini terbaru ini menjadikan Copilot lebih sebagai pembantu peribadi digital pengguna.
Copilot Voice telah tiba dengan memberi pengguna pilihan kepada empat suara berbeza untuk perbualan lebih semula jadi menggunakan suara. Ini adalah sama yang telah ditawarkan pada ChatGPT dan juga Gemini Live. Cuma buat masa ini, Copilot Voice terhad kepada bahasa Inggeris di negara Australia, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Seterusnya adalah Copilot Daily yang kini boleh membacakan rumusan berita harian, memaklumkan pengguna cuaca semasa dan akan datang turut boleh memberi peringatan kepada pengguna. Copilot Daily akan menggunakan suara pilihan pengguna serta sumber berita adalah yang sahih seperti rakan kerjasama Microsoft, Reuters.
Microsoft turut mengaktifkan Personalized Discover untuk mencadangkan pengguna aktiviti lain boleh dilakukan bersama Copilot berdasarkan aktiviti pengguna dengan perkhidmatan Microsoft lain. Copilot in Microsoft Edge pula adalah seakan Gemini pada Chrome, di mana hanya masukkan @copilot pada bar alamat Edge untuk terus mendapatkan maklum balas pantas chatbot AI Microsoft ini.
Khusus untuk pelanggan Copilot Pro, Copilot Labs akan memberi akses awal untuk ciri serta fungsi lebih menarik. Misalnya adalah Copilot Vision untuk menganalisa desktop dan gambar. Kemudian adalah Think Deeper yang boleh membantu pengguna menyelesaikan masalah matematik.