Set kepala realiti gabungan Microsoft HoloLens mula diperkenalkan pada tahun 2016 dan selepas tiga tahun HoloLens 2 pula diperlihatkan. Penggunaan set kepala Microsoft ini tidak begitu memfokuskan kepada pasaran pengguna biasa kerana lebih mementingkan kepada pembangun dan juga tentera. Kini selepas 8 tahun HoloLens diperkenalkan, Microsoft akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan set kepala ini.
Ini bermakna tiada lagi pengeluaran unit baharu dan apa yang dijual hanyalah melalui stok sedia ada. Sokongan perisian untuk HoloLens generasi pertama akan tamat pada Disember tahun ini, sementara HoloLens 2 akan ditamatkan pada 31 Disember 2027. Pengganti bagi HoloLens turut dikatakan mungkin tidak akan tiba. Sebaliknya pembangunan set kepala ini hanya akan diteruskan untuk versi tentera iaitu IVAS.
Dengan industri set kepala mula menjadi trend, serta pembangunan kaca mata pintar/kaca mata AR semakin menjadi-jadi – tidak pasti jika akan datang Microsoft akan mempunyai projek baharu untuk bersaing dengan Meta Orion atau akan datang kaca mata AR oleh Apple.