Audeze CRBN2 Diperkenalkan – Fon Kepala Elektrostatik Terbaru Yang Mempamerkan Kualiti Audio Tiada Tandingan
Nazrin
Fon kepala elektrostatik bukanlah sebuah konsep yang baru. Secara lazimnya, fon telinga yang menggunakan pemandu audio elektrostatik ini boleh mendengarkan julat frekuensi audio yang lebih luas, dan ini membolehkan lebih banyak nota audio didengari dengan lebih jelas.

Terkini, Audeze, sebuah syarikat pembuat produk audio dari Amerika Syarikat telah memperkenalkan fon kepala elektrostatik terbaru mereka, iaitu Audeze CRBN2 yang menggunakan pemandu audio elektrostatik dengan teknologi-teknologi baru.

Audeze CRBN2 menggunakan pemandu audio elektrostatik generasi kedua yang diperbuat daripada nanotube karbon yang membantu dalam meningkatkan keluasan pendengaran dan pemisahan audio, disamping memberi pengguna pengalaman bass yang lebih baik juga.

Bercakap mengenai bass, Audeze juga memperkenalkan teknologi SLAM (Symmetric Linear Acoustic Modulator), iaitu sebuah teknologi yang selain daripada memberi pengalaman mendengar bass secara lebih jelas, ia juga memastikan bahawa dentuman tersebut lebih menyeluruh dan tidak tertumpu ke satu kawasan sahaja, memastikan bahawa pengguna tidak mengalami isu penat mendengar (audio fatigue) dengan terlalu cepat.

Dalam pada itu, fon kepala ini juga dibina dengan komponen-komponen premium, seperti magnesium, gentian karbon, keluli tahan karat dan polimer asetat. Menariknya, Audeze juga menyarankan pengguna untuk menggunakan fon telinga Audeze CRBN2 ini dengan amplifier yang mampu mengalirkan elektrik 580V dan telah menyenaraikan beberapa contoh di laman web mereka.
Fon kepala Audeze CRBN2 sudahpun mula dijual di beberapa pasaran terpilih untuk harga $5995 (~RM24,000) melalui laman web Audeze. Buat masa ini ia tidak masih diketahui lagi samada mereka akan membawanya masuk ke pasaran tempatan secara rasmi.