Carian
Halide Mula Menyokong Kawalan Manual Dengan Camera Control iPhone 16
October 2, 2024 Fahim Zahar

Camera Control adalah butang kawalan baharu yang diperkenalkan pada iPhone. Menurut Apple, Camera Control bukanlah butang walaupun ia boleh ditekan kerana di dalamnya terdapat komponen elektrik lain, enjin haptik dan juga pelindung kaca. Butang yang bukan butang ini terdapat pada kesemua iPhone 16 dan baru-baru ini aplikasi pihak ketiga mula menerima kawalan tambahan.

Aplikasi kamera pihak ketiga Halide Mark II – Pro Camera telah dikemaskini untuk menyokong Camera Control dengan lebih mendalam. Sebelum ini ia sama dengan aplikasi kamera lain seperti Pro Camera by Moment di mana, Camera Control hanya boleh digunakan untuk membuka aplikasi. Kemas kini baharu ini membenarkan pengguna mengawal fokus dengan pengalaman lebih lancar dan pendedahan kepada cahaya dengan kawalan -/+ 6 EV berbanding pada aplikasi kamera iOS yang terhad kepada -/+ 2 EV.

Halide juga membenarkan mengunci Camera Control agar ia tidak tertekan. Lebih menarik, Halide memastikan apabila pengguna tekan Camera Control gambar akan terus diambil bukannya lepaskan jari baru gambar diambil. Ini menjadikan proses mengambil gambar lebih pantas. Halide turut memastikan ciri iPhone 16 Pro iaitu ProRAW Zero Shutter Lag disokong dan gambar dengan Process Zero tanpa sebarang pemprosesan diambil dengan Camera Control.

Halide Mark II – Pro Camera ditawarkan di Malaysia pada harga RM12.90 sebulan atau RM52.90 setahun. Jika anda tidak berminat untuk mengeluarkan duit, lebih banyak aplikasi akan disokong seperti Snapchat. Instagram sedia disokong tetapi hanya pintasan untuk membuka aplikasi.

Komen