Vivo V40e dilancarkan secara rasminya di India sebentar tadi. Tumpuan umumnya terletak pada sistem kamera dengan kemampuan potrait yang baik dalam apa juga senario pencahayaan. Namun tidak dilengkapi lensa ZEISS seperti model-model di bawah siri V40 sebelum ini.
Untuk lebih khusus, peranti ini dilengkapi skrin AMOLED FHD+ sebesar 6.77-inci dan berkadar segar semula 120Hz. Ia juga dijana dengan cip MediaTek Dimensity 7300, memori 8GB RAM LPDDR4X (tambahan RAM Maya 8GB) dan storan dalaman mencapai 256GB UFS 2.2. Bateri 5500mAh disertakan boleh dicas melalui port USB-C dan pengecasan pantas 80W.
Sistem kamera utama terdiri dengan 50MP Sony IMX882 OIS + 8MP ultra-lebar sementara itu swafoto pula sebesar 50MP. Vivo melengkapi lagi peranti dengan bluetooth 5.4, pelancar Funtouch OS 14 (berasaskan Android 14) dan sistem audio tereo. Harga jualan bermula ₹30,999.00 (~RM1,536) sebuah.