Carian
iOS 18 Menyukarkan Lagi Aplikasi Mengakses Data Kenalan Pada Peranti
October 3, 2024 Fahim Zahar

Antara ciri paling saya suka pada peranti iOS adalah sekuriti dan perlindungan privasi yang ditawarkan. Pertama sekali adalah iOS tidak mempunyai paparan iklan yang mengarut. Kemudian di iOS, mana-mana aplikasi perlu meminta kebenaran pengguna untuk ia menjejak aktiviti dan jika ada aplikasi ingin mengakses fail media – pengguna boleh pilih untuk membenarkan semua atau sebilangan. Terbaru, perkara lebih kurang sama diaktifkan untuk akses kepada kenalan-kenalan yang disimpan dalam peranti.

Kenalan di dalam peranti melibatkan nama, nombor telefon, alamat emel, alamat rumah/pejabat, tarikh lahir dan banyak lagi informasi yang penting atau sensitif. Dalam iOS 18, Apple mengetatkan lagi sistem meminta kebenaran pengguna untuk akses kepada kenalan. Pengguna kini boleh membenarkan aplikasi mengakses semua kenalan atau segelintir kenalan yang dipilih sahaja. Ini adalah perkara baik untuk pengguna tetapi perkara mencabar untuk pembangun aplikasi lagi-lagi dalam kategori media sosial.

Aplikasi media sosial perlu mengakses data kenalan dalam peranti pengguna untuk menyebarkan kepada orang ramai yang ada kenalan mereka telah menggunakan platform ini. Dalam laporan New York Times, atas halangan baharu Apple ini – hampir 25% pengguna didapati sudah tidak lagi berkongsi data kenalan atau hanya kongsi kurang daripada 10. Adakah anda rasakan ini perkara bagus yang peranti Android patut turut ikut serta atau sebaliknya?

Komen