Muat sisi atau sideloading adalah kaedah pemasangan aplikasi secara manual yang popular pada peranti Android. Ia menggunakan fail APK dan pemasangan muat sisi menjadi semakin leceh apabila banyak kes penipuan berlaku. Halangan muat sisi aplikasi buat masa ini masih terhad kepada negara tertentu seperti Singapura. Terbaru, Google India pula memperkenalkan perkara yang sama untuk pengguna Android di India.
Halangan ini dilakukan melalui imbasan sekuriti oleh Google Play Protect. Google menggunakan model sekuriti yang lebih ketat dan pintar. Ini berbeza dengan Auto Blocker oleh Samsung yang terus mengesan sumber aplikasi yang dikhuatiri berbahaya. Sistem baharu Google ini bukan menghalang muat sisi APK secara terus, tetapi ia mengimbas dan memastikan aplikasi tidak meminta kebenaran akses kepada data yang sensitif seperti mengakses notifikasi, akses SMS, akses kandungan skrin dan sebagainya.
Sistem Android turut akan mengeluarkan mesej memberitahu pengguna sebab-sebab aplikasi yang ingin dipasang itu dihalang. Berbeza dengan sekarang yang mana, walaupun sudah menerima amaran – pengguna boleh langkau untuk pasang. Pada hemat saya, jika masih ramai yang tidak faham akan risiko muat sisi APK – ciri ini patut dihalang agar kes-kes duit simpanan dikosongkan dalam akaun bank masing-masing tidak lagi berlaku. Anda pula bagaimana?