Tencent Dan Keluarga Guillemot Dilaporkan Ingin Membeli Sepenuhnya Ubisoft
Aman
Nilai saham Ubisoft dilihat jatuh mendadak pada tahun ini, menjadikan nilainya berkurangan lebih separuh berbanding tahun lepas. Selari dengannya, keluarga pengasas Ubisoft, iaitu keluarga Guillemot dilaporkan sedang pertimbangkan beberapa langkah untuk menstabilkan syarikat tersebut, termasuk bekerjasama dengan Tencent untuk membeli sepenuhnya semua pegangan saham pada syarikat Ubisoft.
Ubisoft kini dianggarkan bernilai sekitar $1.5 bilion. Tencent memiliki hak undian 9.2% pada Ubisoft, sementara keluarga Guillemot pula mempunyai hak sebanyak 20.5%.
Pada tahun ini sahaja, Ubisoft menghadapi sejumlah cabaran, termasuk penangguhan pengenalan Assassin’s Creed Shadows, selain beberapa permainan yang tidak membawa pulangan baik kepada syarikat, termasuk Star Wars Outlaws.
Selain langkah menswastakan kembali syarikat, Tencent dan keluarga Guillemot dilaporkan turut sedang melihat kepada beberapa kaedah lain dalam menstabilkan kembali kedudukan dan operasi Ubisoft. Dalam arena permainan video, Ubisoft dilihat mempunyai kelebihan dalam arena permainan dunia terbuka yang masih mencabar bagi sejumlah pihak lain – sekaligus menjadikan aset-aset dan IP dibawah Ubisoft agak bernilai.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.