Carian
Ciri Mengunci Peranti Android Secara Automatik Apabila Diragut Diaktifkan Secara Lebih Meluas
October 7, 2024 Effi Saharudin

Di acara Google I/O pada Mei lalu, ciri anti ragut telah diumumkan untuk peranti Android. Pada Ogos lalu ciri ini mula diaktifkan untuk pengguna Android di Brazil terlebih dahulu dalam fasa ujian skala kecil. Pada hujung minggu lalu, ciri ini mula diberikan kepada lebih banyak pengguna Android global.

Kemas kini diberikan menerusi Google Play Service pada peranti yang menggunakan sekurang-kurangnya Android 10. Terdapat dua tetapan yang boleh diaktifkan oleh pemilik peranti. Tetapan pertama akan mengunci skrin secara automatik apabila accelerometer mengesan aktiviti peranti diragut atau disentap dengan pantas. Tetapan kedua pula terus meletakkan peranti dalam mod luar talian juga apabila accelerometer mengesan pergerakan yang sama.

Kedua-dua ciri ini tidak memudahkan peranti dijejak tetapi ia sekurang-kurangnya mengelakkan penyalahgunaan data peribadi atau aplikasi perbankan oleh pencuri. Walau bagaimanapun setakat ini ciri ini masih belum diberikan kepada pengguna di Malaysia.

Komen