Ulasan Samsung Galaxy Buds3 Pro – Perubahan Yang Diperlukan
Effi Saharudin
Sejurus selepas Samsung Galaxy Buds3 Pro diumumkan pada Ogos lalu, muncul meme yang mengejek Samsung meniru rekaan AirPods. Saya antara golongan awal yang merasakan tindakan Samsung meninggalkan rekaan putik telinga berbentuk kacang dengan rekaan bertangkai sebagai satu kesilapan. Tetapi selepas menggunakan Buds3 Pro selema tiga minggu saya tidak malu mengatakan pendapat awal saya ini salah dan ia sebenarnya perubahan yang memang diperlukan.

SPESIFIKASI
| Samsung Galaxy Buds3 Pro | |
|---|---|
| Jenis | TWS dalam telinga |
| Pemandu | Dua pemandu audio |
| Mikrofon | 6 mikrofon |
| Bateri | 7 Jam/30 jam tanpa ANC 6 Jam/26 jam dengan ANC |
| Port pengecas | USB-C Pengecasan nirwayar |
| Pengecasan nirwayar | Ya |
| CODEC | AAC, SBC, SSC(Samsung Seamless Codec), SSC-UHQ |
| Sistem operasi disokong | Semua |
| Sokongan pembantu maya | Ya/Bixby |
| Pad sesentuh | 2X sesentuh 2X Tekanan |
| Kemampuan kalis air | IP57 |
| Bluetooth | 5.4 |
| Harga Jualan | RM 999 |
Rekaan
Adalah rekaan Buds3 Pro meniru sepenuhnya sebuah AirPods Pro? Jawapannya tidak. Sekali imbas memang ada pelanduk dua serupa tetapi jika diteliti bahagian putik lebih besar dengan tangkai pula lebih bersegi. Sebagai pengguna siri Galaxy Buds selama bertahun lamanya, perubahan ini pada awalnya rasa sedikit janggal.

Tetapi saya harus akui kewujudan tangkai memudahkan Buds3 Pro ditanggalkan daripada telinga. Proses mengubah kedudukan putik audio juga lebih mudah kerana pad sesentuh tidak ditekan secara tidak sengaja setiap kali jari menyentuhnya.
Buds3 Pro selesa di dalam telinga dengan kekedapan udara adalah mengikut saiz putik silikon yang digunakan. Saya gunakan putik yang diberikan secara lalai dan ia terasa cukup selesa tidak seperti Buds2 Pro tahun lalu yang membuatkan lubang telinga seperti disumbat jari kelingking sepanjang masa. Oleh sebab itu pemakaian jangka masa panjang tidak mendatangkan kesakitan.

Malahan saya beberapa kali tertidur dengan Buds3 Pro melekat di telinga semasa mendengar podsiar di rumah. Walaupun lebih besar dan mempunyai tangkai, ia lebih selesa dipakai semasa tidur berbanding Buds2 Pro. Saiz lebih besar Buds3 Pro juga menyelesaikan masalah sukar mencari putik telinga yang tertanggal daripada telinga semasa tidur.
Pada tangkai terdapat dua sensor. Satu sensor tekanan yang apabila ditekan akan menjeda, memainkan, melangkau audio dan mematikan mod ANC/Ambient. Sensor ini sama sahaja dengan sensor tekanan pada sebuah AirPods. Samsung “mengambil inspirasi” daripada TWS paling laku di pasaran dan implementasi mereka setanding yang ditawarkan oleh Apple.

Sensor kedua pula mengesan tatalan jari pada tangkai untuk menaikkan atau mengurangkan kelantangan audio. Ini diletakkan pada kedua-dua putik telinga Buds3 Pro. Selama ini pada Buds2 Pro, saya perlu mengaktifkan ciri Samsung Labs dimana kawalan kelantangan audio dilakukan dengan menjentik permukaan luar putik telinga.
Ciri ini berfungsi dengan baik tetapi tidak begitu mesra pengguna. Penggunaan sensor mengesan tatalan pada Buds3 Pro ialah keputusan yang baik kerana kawalan yang lebih responsif dan tersedia tanpa perlu menggunakan ciri Beta.

Pod pengecas Buds3 Pro juga diberikan nafas baharu. Selamat tinggal pod empat segi seakan batu sungai yang ikonik dan selamat datang diucapkan kepada pod simpanan/pengecas yang lebih bujur sekali lagi seakan AirPods. Perubahan hanyalah ia lebih besar dengan bahagian penutup lutcahaya.
Sekali lagi ini ialah pilihan yang tepat kerana tanpa perlu membuka penutup saya boleh melihat kedua-dua putik audio berada dalam pod simpanan. Kedua pula ialah akhirnya butang fizikal untuk memulakan proses menambat bluetooth kini terletak pada bahagian bawah pod simpanan. Ini ialah cara yang lebih mesra pengguna berbanding menekan kedua-dua putik telinga selama 5 saat pada TWS Buds generasi sebelum ini.

Saiz pod sedikit besar tetapi saya rasakan masih selesa apabila diletakkan dalam kocek seluar. Berita buruk di sini hanyalah jika anda mengumpul kerangka Galaxy Buds sejak empat tahun lalu, kesemua kerangka ini tidak lagi boleh digunakan pada Buds3 Pro.
Bahagian penutup pod juga menggunakan magnet yang lebih kuat. Sepanjang tempoh ulasan putik audio tidak tercampak keluar walaupun pod terjatuh ke atas lantai. Pengguna tegas Galaxy Buds sebelum ini pasti akan bersetuju dengan saya bahawa penutup pod simpanan sebelum ini magnetnya tidak cukup kuat untuk mengelakkan kandungan termuntah keluar.

Akhir sekali putik telinga melepasi piawaian kalis air serta debu IP57 membolehkan ia bersukan tanpa perlu risau mengalami kerosakan disebabkan keringat yang dirembeskan tubuh.
Penggunaan dan Audio
Dalam minggu pertama saya merasakan audio Buds3 Pro adalah terlalu terang sehingga menenggelamkan bahagian bass dan vokal. Semua audio kedengaran terlalu tajam sehingga menyakitkan telinga. Tetapi berdasarkan pengalaman mengulas pelbagai produk audio, saya menggunakan Buds3 Pro berterusan selama seminggu untuk memastikan telinga dapat membiasakan diri dengan profil audionya.
Wujud pendapat sesebuah aksesori audio perlu digunakan selama beberapa ratus untuk melakukan proses “break-in”. Tetapi secara saintifik kesan break in ini tidak wujud dan hanya telinga pengguna yang berubah.

Dalam mod EQ lalai audio adalah jelas dengan pentas audio yang sedikit sempit disebabkan oleh saiz pemandu serta putik yang menyumbat lubang telinga. Dengan mengubah EQ terbina dalam aplikasi Galaxy Wearable, audio yang terasa lebih selesa dapat diubah mengikut kesesuaian. Secara peribadi tetapan Bass boast adalah kegemaran saya kerana majoriti yang saya dengar adalah dalam genre rock, dan hip hop. Untuk mendengar podsiar saya mengubah EQ kepada Clear supaya suara dapat didengari dengan lebih jelas.
Penggunaan Buds3 Pro sama sahaja dengan TWS Samsung Buds yang lain. Ia masih tidak menyokong Fast Pair yang agak aneh untuk produk mercu yang menyokong peranti Anrdoid. Terdapat pelbagai pilihan kekuatan mod ANC dan juga audio 360 darjah. Mengaktifkan sokongan audio resolusi tinggi juga boleh dilakukan.

Sistem lampu juga boleh dimatikan jika tidak diperlukan. Saya rasakan mod lampu ini hanya berguna apabila mencari putik telinga yang hilang di dalam gelap. Beberapa kali saya tertidur dan jika tertanggal, 566
Kemampuan ANC pada hemat saya tidak sebaik Buds2 Pro. Ini kerana putik silikon yang digunakan pada Buds3 Pro adalah lebih kecil. Akibatnya audio dari luar tidak ditapis sebaik Buds2 Pro. Samsung mengorbankan prestasi ANC sedikit demi keselesaan pemakaian jangka panjang. Dalam penerbangan antara Bangkok dan KL, saya merasakan sistem ANC Buds3 Pro tidak cukup berkuasa untuk menghalang deruman enjin jet. Seperkara lagi yang unik tentang ANC TWS ini ialah ia mengambil masa 2 saat untuk diaktifkan tidak seperti TWS lain. Oleh itu pada peringkat awal terasa canggung perlu menanti dua saat sebelum hingar sekeliling diredam.

Mod tembus pula masih lagi mempunyai kesan hingar white noise apabila diaktifkan. Mod tembus terbaik masih lagi dipegang oleh AirPods Pro. Satu kelebihan yang ada pada Buds3 Pro ialah mod tembus dan ANC adalah dari jenis adaptif yang berubah mengikut keadaan sekeliling. ANC akan dimatikan secara automatik apabila pengguna bercakap atau ia mengesan bunyi siren. Pengesanan siren hanya disokong pada Buds3 Pro setakat ini kerana ia adalah ciri terbaru.
BATERI
Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 30jam dengan bantuan pod pengecas atau 7 jam jika ANC dimatikan. Masa penggunaan turut ke 26/6 jam apabila ANC diaktifkan. Ini ialah hayat penggunaan yang standard pada sepasang TWS moden yang saya rasakan mencukupi untuk kegunaan seharian di pejabat. Waktu mengecas semula bateri adalah sekitar 80 minit secara berwayar dan 120 minit secara nirwayar.
APA ADA DALAM KOTAK
Berikut adalah apa yang anda akan dapat dengan setiap pembelian Samsung Galaxy Buds3 Pro.
- 1x Set Galaxy Buds3 Pro
- 1x Kabel USB-C ke USB-C
- 2x Pasang putik silikon tambahan.
- 1x Manual
KESIMPULAN
Samsung Galaxy Buds3 Pro membawakan perubahan yang diperlukan bagi menawarkan TWS yang lebih selari dengan keperluan pengguna semasa. Rekaan bertangkai jauh lebih ergonomik dan membolehkan kawalan audio yang lebih mudah serta pelbagai. Kualiti audio juga amat baik dan ini ialah perkara yang paling penting sekali bagi sepasang fon telinga mercu daripada Samsung. Hayat baterinya juga memuaskan dengan kemampuan beroperasi sehingga 30 jam dengan bantuan pod pengecas.

Kekurangan hanyalah terletak pada tiada mod penjejakan dengan audio seperti yang sudah diberikan kepada AirPods Pro dan Pixel Buds Pro 2. Penjejakan lokasi akhir yang disokong oleh SmartThings sudah ketinggalan zaman. Di Malaysia Samsung Galaxy Buds3 Pro dijual pada harga RM999 sebuah.
Pro
- Audio yang memuaskan.
- Sistem ANC adaptif.
- Hayat bateri yang baik untuk kelasnya.
- Kalis air dan debu IP57.
- Kawalan fizikal pada tangkai yang praktikal.
Kontra
- Tidak disokong sepenuhnya di iOS.
- Mod tembus masih tidak begitu semula jadi.
- ANC tidak begitu bertenaga.
