Sebuah Apple MacBook Pro M4 telahpun tertiris sebelum dilancarkan secara rasmi selepas video nyahkotaknya dimuat naik oleh sebuah saluran YouTube dari Rusia. Ia mendedahkan beberapa rekaan yang dikekalkan dan juga perubahan kecil yang dilakukan berbanding MacBook Pro M3 yang dilancarkan tahun lalu.
Pertama sekali ialah sudah pastinya penggunaan cip Apple M4 yang sebelum ini digunakan hanya pada iPad Pro baharu. Cip ini hadir dengan 10 teras CPU serta menawarkan peningkatan prestasi sehingga 25% berbanding cip Apple M3. Seterusnya ialah model paling asas kini hadir dengan 16GB RAM dan bukan lagi 8GB RAM. Kritikan yang diterima Apple selama ini ialah 8GB RAM ialah saiz memori yang terlalu kecil untuk komputer moden.
Peningkatan jumlah RAM ini adalah bagi memenuhi keperluan Apple Intelligence yang dijalankan terus pada komputer. Perubahan lebih praktikal ialah MacBook Pro M4 kini dilengkapi tiga port Thunderbolt 4 berbanding hanya dua Thunderbolt 3 sebelum ini. Lebih banyak peranti dan monitor boleh disambung serta kadar pemindahan data lebih pantas.
Rekaan tubuh masih lagi sama dengan panel sisi berkotak dan logo Apple berkilat pada bahagian penutup. Apple MacBook, Mac Mini dan iPad Mini baharu dijangka dilancarkan pada awal November depan.