Roblox Didakwa Menipu Jumlah Sebenar Pemain dan Mengabaikan Keselamatan Pemain Bawah Umur
Effi Saharudin
Roblox didakwa menipu pelabur mengenai jumlah pemain dan juga masa yang dihabiskan oleh mereka. Dalam laporan yang diterbitkan oleh firma penyelidikan Hindenburg Research, Roblox didakwa menipu jumlah pemain antara 25-43% berbanding angka sebenar sementara masa bermain pula dinaikkan sehingga 100% berbanding situasi sebenar.
Antara yang didakwa dilakukan oleh Roblox ialah tidak mengira pelbagai akaun yang dimiliki seorang individu sebagai satu akaun sahaja. Roblox turut didakwa boleh mengesan pemilik dengan lebih daripada satu akaun tetapi enggan membezakannya dengan jumlah sebenar pemain.

Lebih merisaukan bagi golongan ibu bapa dan penjaga ialah Roblox turut dikatakan tidak mengendahkan keselamatan pemain kanak-kanak dalam platform demi memacu perkembangan jumlah pengguna. Walaupun 21% pemain Roblox ialah kanak-kanak bawah umur, sekatan kandungan yang tidak serasi dengan umur tidak dilakukan dengan serius.
Akibatnya golongan pemangsa dewasa masih boleh menghantar mesej seksual dan meminta gambar tidak senonoh daripada pemain bawah umur. Nama pemain juga tidak disaring dengan wujud akaun menggunakan nama seakan pengamal pedofilia terkemuka Jeffrey Epstein. Dengan kesemua dakwaan di atas, Roblox didakwa cuba menggembirakan pelabur dan sekaligus memastikan saham syarikat tidak akan terjejas.
Roblox telahpun mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan Hindenburg Research. Menurut mereka laporan yang dikeluarkan adalah mengelirukan dan syarikat sentiasa mementingkan keselamatan pengguna bawah umur. Sebelum ini Hindenburg Research telah membongkar penipuan dalam firman Adani Group dan Nikola Corporation yang menyebabkan tokoh utama syarikat dihadapkan ke mahkamah.