Carian
Honor Akan Melancarkan Peranti Siri X Baharu Pada Bulan Ini
October 9, 2024 Amy Maizuraa

Honor mengumumkan bahawa generasi baharu siri X mereka akan dilancarkan pada 16 Oktober ini. Ia akan dikenali sebagai X60 namun butiran lanjut tidak diperincikan buat masa ini. Meskipun begitu peranti dijangka terus mengekalkan unsur-unsur generasi terdahulu seperti panel hadapan melengkung, tahan lasak dan hayat bateri yang panjang. Ia juga berpotensi mempunyai lebih daripada satu pilihan model, selain dijangka diberi peningkatan untuk prestasi.

Honor turut berkongsi rekabentuk penuh peranti yang dilihat hadir dalam dua kemasan berbeza. Salah satu daripadanya masih mengekalkan unsur-unsur yang sama dengan generasi dahulu iaitu Honor X50. Sementara itu satu lagi membawa perubahan dengan bonggol kamera lebih tebal dan susunan sistem kamera yang turut diubahsuai. Panel hadapan pula sejenis melengkung dengan lubang berbentuk pil yang dijangka boleh menawarkan dwi-kamera swafoto.

Honor X9b

Imbas kembali, siri Honor X50 boleh didapati dalam pelbagai model seperti X50i Plus, X50, X50 Pro dan X50 GT. Ada diantaranya yang apabila dibawa masuk ke pasaran global akan menggunakan penjenamaan berbeza dengan peningkatan kecil pada perkakasan dalaman. Misalnya seperti X9b yang dijenamakan semula daripada X50 dengan peningkatan pada sistem kamera. Bagaimana pula dengan penawaran baharu ini? Sama-sama nantikan pelancaran rasmi yang bakal mendedahkan keseluruhan ciri dan fungsi diberikan pada peranti.

Komen