Amerika Syarikat boleh dianggap sebagai negara paling kapitalis di dunia, dan pasaran mereka terbuka untuk sesiapa sahaja menyertainya untuk membuat duit. Tetapi mereka juga dilihat sebagai tidak begitu menggemari syarikat-syarikat yang memegang monopoli mana-mana satu pasaran, dan terkini, dilihat mahu menggulingkan monopoli atas-talian yang kini dikuasai oleh Alphabet, khususnya Google.
Baru-baru ini ia dilaporkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat mahu meminta badan kehakiman negara tersebut untuk mengeluarkan arahan untuk memisahkan beberapa perniagaan Google, seperti Google Search dan juga Google Chrome untuk mengekang monopoli carian atas-talian yang dipegan oleh syarikat tersebut.
Carian Google nampaknya kini memproses 90 peratus daripada carian atas-talian rakyat Amerika Syarikat melalui gabungan perkhidmatan carian Google, penggunaan pelayar web Google Chrome, dan mungkin juga melalui peranti-peranti Android, yang menggunakan pelayar tersebut sebagai pelayar lalai.
Pemecahan perniagaan-perniagaan ini dari Google diharap dapat memecahkan monopoli tersebut dan akan memberi peluang kepada syarikat-syarikat carian atas-talian yang lain untuk menawarkan perkhidmatan carian mereka.
Perkara ini dilihat setelah Google didapati telah membina sebuah monopoli haram, dan baru-baru ini kalah dalam saman antipakatan yang dimulakan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Hakim yang mempengerusikan kes ini mengatakan bahawa secara teknikalnya Google tidak mempunyai sebarang lawan didalam arena ini kerana keseluruhan ekosistem atas-talian, khususnya dari segi teknologi carian sehinggalah ke peranti yang digunakan adalah dikuasakan oleh mereka.
Ia cukup menarik untuk melihat bagaimana Google akan cuba untuk mengelakkan perkara ini daripada merumitkan perniagaan mereka, kerana ia dijangka bahawa apa yang kerajaan Amerika Syarikat mahukan ialah untuk Google Search, Android, dan juga Chrome untuk beroperasi sebagai tiga entiti berbeza yang tidak bernaung dibawah payung syarikat seperti Google ataupun Alphabet, yang merupakan ibu syarikat Google.