Carian
Kerajaan Memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Pusat Data Kebangsaan Secara Rasmi
October 10, 2024 Nazrin

Sepanjang tahun 2024, kita telah melaporkan bahawa beberapa syarikat teknologi besar seperti Amazon, Google, Microsoft dan Oracle akan membuka pusat-pusat data di Malaysia dalam masa terdekat ini. Sehubungan dengan ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah berganding bahu dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) untuk membangunkan dokumen Garis Panduan Perancangan Pusat Data Malaysia (GPP).

Garis panduan ini merujuk kepada dasar, pekeliling dan piawaian yang digubal dan dikuatkuasa oleh pihak-pihak berkuasa berpandukan kepada skop kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang serta dokumen garis panduan perancangan yang dikemas kini dari semasa ke semasa.

Pengumuman dokumen ini dirasmikan oleh Nga Kor Ming, Menteri KPKT yang mengatakan dokumen ini dibangunkan untuk memberi garis panduan yang mudah difahami kepada syarikat-syarikat yang mahu membangunkan pusat data di negara ini.

Garis panduan ini meliputi perancangan tapak, prosedur untuk memohon pelan pembangunan, termasuk kebenaran merancang dan pelan bangunan, dan boleh digunakan untuk pembangunan pusat data dengan kapasiti melebihi satu megavolt ampere, sama ada di kawasan baharu atau bangunan sedia ada.

Selain daripada untuk mengukuhkan dan memudahkan pelan pembangunan pusat data di lokasi-lokasi yang ditetapkan, garis panduan ini juga bertujuan untuk memastikan bahawa agihan kuasa dan air untuk lokasi-lokasi domestik tidak terkesan dengan keperluan bekalan elektrik dan air yang tinggi oleh pusat-pusat data ini.

Nga juga berkata bahawa beliau menjangkakan bahawa Malaysia akan menjadi destinasi utama untuk pembangunan pusat data, dengan keperluan menghasilkan kuasa setinggi 4 MegaWatt untuk pusat-pusat data sahaja dalam masa empat ke lima tahun akan datang.

Garis panduan untuk pusat data ini akan dibentangkan sewaktu mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan yang akan diadakan pada 14 November 2024 ini. Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai garis panduan ini, anda boleh memuat-turun PDF melalui laman web PLANMalaysia.

Komen