MITI Melancarkan Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Elektrik & Bateri Merangkumi Industri Sehingga Orang Awam
Ikhwan Nazri
Salah satu perkara yang menjadi pertanyaan adalah apakah akan jadi kepada kenderaan elektrik dan baterinya apabila ia tidak boleh digunakan. Jika kenderaan biasa akan ditanggalkan komponennya, dan boleh dijual semula sebagai alat ganti sekiranya masih elok, untuk EV yang tidak mempunyai banyak komponen, ini mungkin memerlukan sedikit cara berlainan untuk menguruskannya sehinggalah kepada proses melupuskan bateri.

Hari ini MITI dengan kerjasama MPC, MGTC, MARii, Northport dan Nanomalaysia telah melancarkan Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Elektrik & Bateri berdasarkan maklumbalas dari syarikat dan industri yang terlibat dalam kenderaan elektirk. Garis panduan ini akan dikawalselia secara sendjri setiap pemain industri, tanpa kawalan sebarang organisasi lain.

Garis panduan ini dirangka berdasarkan empat faktor berkaitan EV yang melibatkan bateri iaitu risiko kebakaran, proses pengecasan, thermal runway dan kitar semula bateri. Garis panduan ini yang akan dikemaskini setiap 6 bulan ini turut menyenaraikan proses lengkap dari pengurusan kenderaan sebelum sampai ke Malaysia, bagaimanakah penyimpanan kereta elektrik di pelabuhan dan juga di lokasi pengedar serta apakah yang perlu diketahui oleh penjual kenderaan elektrik.


Menerusi garis panduan ini juga, turut dinyatakan beberapa perkara menarik seperti ‘Pasport Bateri’ yang merekodkan jejak bateri dalam keseluruhan kitarannya beroperasi, tahap bateri EV perlu berada tidak melebihi 30% sebelum memasuki kapal yang akan belayar, kenderaan elektrik yang baru tiba dari kapal perlu disimpan di pelabuhan sekurang-kurangnya 72 jam, pemandu lori yang membawa kereta elektrik perlu mengetahui dan menjaga keselamatan kereta elektrik dibawah penghantarannya dan juga perancangan untuk menambah silibus sekolah memandu mengenai cara memandu kenderaan elektrik dan pelbagai lagi.

Dengan terhasilnya Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Elektrik dan Bateri ini sedikit sebanyak akan membantu industri dan juga orang awam dalam mengetahui sedikit sebanyak berkenaan kenderaan elektrik. Anda boleh memuat-turun dokumen garis panduan ini dari Majlis Produktiviti Negara.
[info] Baca: Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Elektrik & Bateri [/info]