Tesla Robovan Juga Diperlihatkan Dengan Kapasiti 20 Penumpang dan Rekaan Aneh
Effi Saharudin
Tesla secara rasmi kini memasuki era pengangkutan awan massa selepas memperlihatkan rekaan Robovan. Ia adalah van pertama pernah dihasilkan oleh Tesla dengan kapasiti membawa sehingga 20 orang penumpang serta kemampuan swapandu. Kerana ia sebuah kenderaan swapandu, Robovan tidak mempunyai tingkap di bahagian hadapan ataupun stereng serta pedal kawalan di bahagian kokpit.

Di acara We Robot, bahagian dalam Robovan hanya dilengkapi empat barisan kerusi dengan pintu kenderaan melungsur ke tepi seperti sebuah van konvensional. Bahagian bumbung terdapat tingkap tetapi bukan dari jenis panoramik yang wujud pada kereta Tesla sedia ada. Sebuah skrin gergasi diletakkan di bahagian dinding depan bagi menujukan pelbagai maklumat kepada penumpang.

Kemampuan swapandu yang dijanjikan mungkin menarik tetapi tidak boleh dinafikan bahawa rekaan Robovan adalah hodoh kerana kelihatan seperti sebuah seterika dengan lampu yang banyak. Ia mampu membuatkan rekaan Cybertruck kelihatan seperti ia menerima sentuhan Pininfarina jika diletakkan bersebelahan Robovan.

Elon Musk berkata Robovan bukan sekadar sebuah prototaip tetapi ialah pengangkutan awam yang akan dijual oleh Tesla. Selain membawa penumpang, ia konfigurasinya boleh diubah untuk turut membawa kargo sekiranya diperlukan.
Musk melihat masa depan Robovan boleh disewakan apabila ingin membawa lebih banyak penumpang berbanding yang boleh dibawa sebuah Model Y. Tidak seperti Cyercab, Elon Musk tidak meletakkan tarikh bila Robovan akan memulakan operasi.
