Ulasan Huawei MatePad Pro 12.2″ – Skrin Pantas, AI Cerdas, Kerja Tuntas
Amy Maizuraa
Huawei MatePad Pro 12.2” boleh dilihat sebagai sebuah tablet yang bukan sahaja berprestasi tinggi malahan diberi sentuhan rekaan yang moden. Ia telah mula dijual di Malaysia pada hari ini dengan harga jualan RM4,599 sebuah. Secara peribadi ada yang beranggapan ia sebagai penawaran harga yang tinggi untuk sebuah tablet. Lalu mula mencetuskan pertanyaan berhubung prestasi tablet ini dalam kegunaan dunia nyata. Berikut dikongsikan ulasan penuh untuk tablet baharu Huawei ini.

Spesifikasi Ringkas
| Huawei MatePad Pro 12.2″ | |
|---|---|
| Skrin | 12.2-inci, 2880 x 1920 piksel 3:2 ratio (~262 ppi density) |
| Pemproses | Kirin T91 |
| Cip | 8 Teras |
| Cip Grafik | – |
| RAM | 12GB RAM |
| Muatan Dalaman | 512GB ROM |
| Kamera Utama | 13MP (lebar), 8MP (ultra-lebar) 4K@30fps/1080p@30fps |
| Kamera Swafoto | 16 MP, f/2.2 1080p@30fps |
| Bateri | 10,100mAh Pengecasan 100W |
| SIM/Telefoni | Tiada |
| NFC | Tiada |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | Tiada |
| Sistem Imbasan | Imbasan Wajah Imbasan Cap Jari |
| Harga Jualan | RM4,599 (12/512GB) |
Tumpuan utama diberikan pada permukaan skrin berukuran 12.2″ yang menggunakan lapisan anti-silau dan pantulan dengan teknologi Dual-Later Tandem OLED. Huawei mengatakan panel ini mampu menawarkan kecerahan lebih baik berbanding OLED biasa. Hal ini boleh disahkan melalui penggunaan harian saya yang secara umumnya ia cukup terang, jelas dan mudah dilihat dalam segenap senario.. Bezel yang sama tebal pada keempat-empat sisi pula menjadikan muka hadapan tablet cukup simetri. Tiada rungutan untuk skrin kerana terasa cukup memuaskan.

Gabungan di antara resolusi 2.8K dan kadar segar semula 144Hz turut meningkatkan keseronokan penggunaan skrin dalam aktiviti seharian. Salutan anti-silau dan pantulan yang digunakan bantu meningkatkan penglihatan pada skrin sambil mengurangkan keletihan mata khususnya sewaktu digunakan dalam persekitaran yang malap.

Selain turut boleh memberi pengalaman seolah-olah sedang membaca, menulis dan melukis di atas kertas. Boleh dikatakan amatlah sesuai dimanfaatkan oleh golongan yang gemar membaca buku versi digital tetapi mahukan pengalaman bacaan lebih menarik seakan membalik kertas.



Dari saiz skrin memang menampakkan tablet ini besar namun sebenarnya selesa sahaja untuk dibawa kemana-mana. Keadaan didorong oleh binaan tubuh tablet yang nipis dengan ketebalan hanya 5.9mm dan berat kira-kira 680 gram. Dalam masa sama kelihatan premium melalui bahan gentian kaca dengan kemasan seakan sutera emas unik di bahagian belakang. Ia cukup menarik sehingga dirasakan mampu mewujudkan elemen estetika tersendiri. Bingkainya bagaimanapun hanyalah daripada plastik namun terasa kukuh dan sedap dipegang untuk tempoh yang panjang.

Turut melengkapi ialah bonggol kamera bulat dengan dua sensor kamera dan LED Flash. Butang kuasa pula boleh ditemui pada sisi kiri yang juga diintegrasikan dengan fungsi pengimbas cap jari. Diikuti dengan dua pembesar suara di bahagian yang sama. Butang laras audio pula di bahagian atas bersama tiga lubang mikrofon.

Selain turut mempunyai dua lagi pembesar suara dan port USB-C pada sebelah sisi kanan. Sekali lagi tiada ruang slot SIM jelas menunjukkan tablet hanya menyokong WiFi sahaja tanpa kemampuan selular. Seperkara lagi, tablet juga tidak melepasi sebarang pensijilan kalis air yang memerlukan penjagaan rapi agar tidak rosak.

Pengalaman Penggunaan
Huawei Malaysia tidak mendedahkan secara terbuka tentang cip pemprosesan yang digunakan. Namun semakan menerusi Huawei UAE dan aplikasi Aida94 menunjukkan tablet ini dijana dengan cip pemproses lapan teras Kirin T91. Ini dipadankan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB yang dirasakan mencukupi untuk kebanyakan pengguna moden.
Tablet berfungsi dengan baik dalam kebanyakan situasi penggunaan. Saya tidak perasan sebarang masalah lengah masa yang ketara walaupun sewaktu digunakan untuk menyelesaikan pelbagai tugas atau aktiviti secara serentak dalam tempoh masa yang agak panjang. Proses menatal dan bertukar ganti aplikasi juga lancar di mana saya boleh memanfaatkan sepenuhnya paparan 144Hz yang disertakan.



Selain itu Huawei dilihat berjaya mengoptimumkan perisian dengan baik untuk pengalaman yang responsif pada setiap masa. Tablet juga boleh menjalankan kebanyakan permua tanpa masalah namun diharap tidaklah terlalu meletak harapan yang tinggi memandangkan ia sememangnya bukan pilihan utama untuk para gamers tegar. Malahan turut berlaku sela masa pada masa tindak balas khususnya dalam sesi permainan yang panjang. Dalam ujian penanda aras, tablet ini dibandingkan dengan Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 dan Samsung Galaxy Tab S10+ dengan perbezaan markah seperti di bawah:
AnTuTu 3D
- Huawei MatePad Pro 12.2 – 691,241
- Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 – 1,509,513
Geekbench 5 –
- Huawei MatePad Pro 12.2 – 982/3535
- Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 – 1895/4996
- Samsung Galaxy Tab S10+ – 1974/6921
Wildlife Extreme
- Huawei MatePad Pro 12.2 – 3.885
- Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 – 2989
- Samsung Galaxy Tab S10+ – 4197
Perisian – HarmonyOS 4.2
MatePad Pro 12.2″ menjalankan perisian terkini HarmonyOS 4.0 tanpa perkhidmatan Google Mobile Services yang bermakna pengguna perlu bergantung sepenuhnya pada AppGallery dan Petal Search. Ia sudah semestinya boleh menimbulkan sedikit ralat khususnya dalam kalangan pengguna yang terikat dengan platform Google seperti GMail, YouTube, Maps dan lain-lain.


Sejumlah aplikasi harian seperti WhatsApp, Netflix, Instagram, Facebook dan Spotify didapati tidak tersedia secara terus di dalam AppGallery. Sebaliknya ia akan menawarkan alternatif lain melalui sambungan ke aplikasi laman web APK Pure untuk tujuan muat-turun. Proses tidaklah rumit tetapi memerlukan saya menunggu imbasan keselamatan terlebih dahulu sebelum memasangnya secara manual.
Seperkara lagi yang saya perasan apabila membuka AppGallery terdapat iklan selama tiga saat yang muncul sebelum kandungan sepatutnya dipaparkan. Keadaan adalah berbeza dengan pengalaman sewaktu saya membuat ulasan untuk MatePad Pro 13.2″sebelum ini yang mana iklan didapati muncul pada pelayar Huawei dan bukannya AppGallery.


Namun tidak bermakna tiada tarikan langsung malahan Huawei dilihat mengoptimumkan perisian ini dengan sebaiknya untuk pengalaman penggunaan yang responsif. Antaramuka dilihat masih mengekalkan elemen EMUI sebelum ini. Skrin utama memaparkan pelbagai folder dan setiap satu mewakili kategori yang berbeza dengan aplikasi dicadangkan yang boleh dimuat-turun daripada AppGallery.
Aplikasi ini bagaimanapun tidak sedia terpasang malahan boleh sahaja dibuang daripada senarai cadangan dengan mudah. Selain itu skrin utama juga menyediakan bar aplikasi di bahagian bawah yang boleh memuatkan sehingga lapan jenis aplikasi paling kerap digunakan.


Kelebihan terbesar kali ini tentulah pada aplikasi GoPaint yang sesuai untuk melukis dengan lebih 150 jenis berus unik dan 320 lapisan kanvas disediakan. Istimewanya lagi apabila terdapatnya fungsi New Batik yang ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja. Ia sebenarnya dibangunkan dengan kerjasama Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sekaligus membolehkan pengguna mencuba seni batik tradisional Malaysia dalam format digital.

Paling penting sudah tentulah aplikasi ini disediakan secara percuma tanpa sebarang caj bayaran tambahan. Selain itu Huawei Notes turut diberi peningkatan dengan lebih banyak ciri pintar seperti Lasso Tool yang boleh menukar warna teks yang dipilih kemudian membuat warna sendiri. Diikuti juga pelbagai toolbar yang menempatkan item kerap digunakan untuk tujuan kerja lebih efisien.



Tiada perubahan drastik di bahagian Control Panel dan panel pemberitahuan juga mampu membahagikan peringatan berdasarkan keutamaan. Misalnya seperti pemberitahuan yang penting diletakkan di bahagian atas kemudian diikuti dengan yang lain pula pada bahagian bawah. Pilihan widget juga lebih banyak dengan pelbagai saiz yang boleh diletakkan pada skrin utama. Selain itu tablet ini turut boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kerja secara multi-tugas. Sebagai contoh mengaktifkan ciri multi-tingkap yang membolehkan dua aplikasi digunakan secara serentak.


Selain itu fungsi Floating Windows Display pula membolehkan mana-mana aplikasi yang tidak menyokong orientasi landskap digunakan pada skrin utama. Ia menyokong sehingga dua aplikasi berbeza dan selebihnya pula muncul sebagai ikon kecil terapung di bahagian sisi. Terdapat juga ciri Multi-Window Dock yang lebih memudahkan untuk proses membuka peranti tanpa perlu keluar daripada skrin utama. Ciri-ciri lain seperti SuperHub, Huawei Share dan Super Device disertakan dilihat melengkapkan lagi ekosistem produk Huawei.


Saya juga akui suka dengan sokongan aksesori tambahan seperti stylus dan papan kekunci baharunya. Proses sambungan adalah mudah secara magnetik kemudian muncul pemberitahuan yang bertanya sama ada mahu meneruskan sambungan atau sebaliknya. Dalam erti kata mudah sangat mudah, cepat dan kemas. Kelebihan lain pula termasuklah papan kekunci baharu yang disokong mempunyai slot tersembunyi bagi tujuan simpanan dan mengecas stylus secara magnetik terus dalam papan kekunci.
Situasi ini dapat membantu mengurangkan masalah kehilangan atau tersilap letak stylus disebabkan daripada kecuaian pengguna sendiri. Selain itu stylus juga dikuasai teknologi NearLink yang diberi peningkatan ketara dari segi ketepatan dan masa pendam. Sekaligus menjadikan pengalaman melukis pada aplikasi GoPaint terasa cukup menyeronokkan.
Kamera

Bahagian yang dirasakan tidak perlu dibincangkan terlalu mendalam memandangkan tablet kebiasaannya menawarkan prestasi kamera agak biasa. Namun masih memadai digunakan untuk aktiviti harian biasa. Samalah seperti MatePad Pro 12.2″ yang menggunakan kamera utama 13MP dan 8MP ultra-lebar tanpa OIS. Penghasilan semula gambar dilihat baik tetapi tidaklah begitu mengagumkan. Begitu juga dengan hasil gambar ultra-lebar yang dilihat berlakunya masalah herotan cukup ketara.





Kelebihan lain pula termasuklah sistem autofokus terbina yang berfungsi dengan baik dan menyokong rakaman video 4K/30FPS. Terdapat juga kemampuan zum mencapai 10X yang melengkapi penawaran tadi tetapi diharapkan tidak meletakkan harapan yang tinggi memandangkan hasilnya tidak begitu baik. Kamera hadapan 16MP pula boleh digunakan untuk panggilan video dengan kemampuan FollowCam yang boleh memastikan subjek sentiasa di dalam bingkai.
Audio

Secara peribadi empat pembesar suara pada tablet ini adalah memuaskan. Ia menyokong sistem audio Huawei Sound disediakan dengan lontaran audio cukup kuat. Bass juga berdentum kuat dan pemisahan audio adalah baik, sekaligus menjadikan pengalaman mendengar benar-benar memuaskan. Mengikut telinga saya, ia kedengaran sedap untuk kebanyakan aktiviti sama ada menonton video, filem atau muzik. Tablet juga tidak menyertakan sebarang bicu audio 3.5mm terbina.
Ketahanan Bateri

MatePad Pro 12.2″ mungkin mempunyai tubuh yang nipis dengan ketebalan 5.9mm namun ia masih boleh menawarkan kapasiti bateri cukup besar berkapasiti 10,100mAh. Dengan ini tiada masalah tablet untuk berfungsi sehari suntuk dengan penggunaan harian biasa. Lebih baiknya lagi apabila turut boleh dicas semula dengan pantas menggunakan sistem pengecasan pantas 100W. Sudah semestinya tidak perlu risau tentang kepala pengecas kerana disediakan terus di dalam kotak pembelian.

Apa Di Dalam Kotak?
- 1 X Tablet HUAWEI MatePad Pro 12.2″
- 1 X Manual Pengguna.
- 1 X Kabel USB-C ke USB C.
- 1 X Pengecas Huawei SuperCharge 100W.
- 1 X Huawei Glide Keyboard.
Kesimpulan
Skrin yang menggunakan lapisan anti-silau dan pantulan dengan teknologi Dual-Layer Tandem OLED menjadi tumpuan utama di sini. Gabungan resolusi 2.8K dan kadar segar semula 144Hz menjadikan ia lebih seronok untuk digunakan. Dalam masa sama mampu memastikan segala aktiviti sama ada menatal aplikasi atau animasi sentiasa lancar. Kapasiti bateri boleh dianggap standard buat masa ini namun sokongan sistem pengecasan pantas 100W yang telah menambah nilai lain pada tablet. Sekaligus boleh menjimatkan masa pengguna yang kebanyakannya sibuk ‘dihantui’ dengan tugas kerja harian.

Sokongan aksesori tambahan seperti stylus dan papan kekunci baharunya juga menarik. Kelebihan lain pula termasuklah papan kekunci baharu yang disokong mempunyai slot tersembunyi bagi tujuan simpanan dan mengecas stylus secara magnetik terus dalam papan kekunci. Kekurangan GMS semestinya menimbulkan sedikit ralat khususnya dalam kalangan pengguna yang terikat dengan platform Google. Selain itu pendekatan Huawei yang gemar berahsia mengenai butiran cip pemprosesan turut menyebabkan menjadi persoalan dalam kalangan orang ramai.
PRO
- Rekaan nipis dan ringan.
- Skrin Tandem OLED yang terang.
- Tatalan lancar dengan skrin 144Hz.
- Sistem pengecasan lebih pantas.
KONTRA
- Tiada Google terbina.
- Tidak kalis air.
- Tiada bicu audio.
- Tiada versi LTE.
