Huawei MatePad Pro 12.2″ Baharu Mula Dijual Di Malaysia – Tablet Berkebolehan Pengganti PC
Amy Maizuraa
Tablet baharu Huawei MatePad Pro 12.2″ sudah boleh dibeli secara rasmi di Malaysia bermula hari ini. Ia boleh dimiliki pada harga RM4599 dengan hadiah eksklusif bernilai RM2546. Tawaran menarik ini termasuk Huawei Glide Keyboard, M-Pencil Gen-3 (NearLink), Sound Joy, dan Bluetooth Mouse. Selain itu anda yang membeli secara dalam talian juga layak menerima baucar tunai tambahan sehingga RM300.

Huawei MatePad Pro 12.2″ merupakan tablet dengan skrin 12.2″ yang menggunakan lapisan anti-silau dan pantulan dengan teknologi Dual-Later Tandem OLED. Sebagai tambahan ia juga menawarkan resolusi 2.8K (1840 X 2800 piksel) dan kadar segar semula yang tinggi 144Hz. Tiada butiran mengenai cip pemprosesan digunakan. Namun apa yang pasti pilihan memori terdiri dengan 12GB RAM dan storan dalaman sebesar 512GB.


Pelancar Harmonyos 4.2 digunakan juga lengkap dengan sokongan ciri berasaskan AI baharu seperti Celia Document Assistant yang bantu memudahkan ringkasan fail PDF, AI Writing Tool boleh memanjangkan sesuatu teks secara automatik dalam WPS Words dan AI Tools For Notes kini menyokong muka taip tulisan tangan untuk penulisan nota lebih kreatif. Selain mempunyai bateri 10,050mAh, empat pembesar suara (Huawei Sound), kamera utama 13MP + 8MP dan swafoto sebesar 8MP.


Kelebihan terbesar kali ini tentulah pada aplikasi GoPaint yang sesuai untuk melukis dengan lebih 150 jenis berus unik dan 320 lapisan kanvas disediakan. Istimewanya lagi apabila terdapatnya fungsi New Batik yang ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja. Ia juga dibangunkan dengan kerjasama Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bagi membolehkan pengguna mencuba seni batik tradisional Malaysia dalam format digital.