Apple Vision Mampu Milik Akan Tiba 2025 Dengan Vision Pro 2 Pula Pada 2026
Effi Saharudin
Pelancaran Apple Vision Pro bermula garang sebelum jualan mula berkurangan beberapa bulan selepas itu. Harga jualan yang terlalu tinggi dan kurangnya ciri menarik menjadikan Vision Pro produk yang tidak mendapat sambutan daripada kebanyakan pengguna. Bloomberg semalam melaporkan Apple masih mempunyai perancangan melancarkan set kepala Apple Vision yang lebih mampu milik.

Apple Vision lebih mampu milik dijangka tiba pada tahun 2025 dengan harga jualan sekitar $2000. Ia lebih mampu milik berbanding Vision Pro yang dijual pada harga bermula $3500 sepasang. Kami telah laporkan sebelum ini pengurangan kos dilakukan menerusi tidak menyertakan skrin di bahagian luar, pemproses kurang berkuasa, bahan binaan lebih murah dan menggunakan skrin dalaman dengan resolusi lebih rendah.
Apple Vision Pro 2 juga masih lagi dalam perancangan dengan sasaran ia dilancarkan pada tahun 2026. Cip yang lebih berkuasa daripada Apple M2 yang digunakan pada set kepala ini kelak. Walaupun Apple tiada perancangan menamatkan pengeluaran Vision Pro, mereka turut mempunyai perancangan melancarkan cermin mata pintar dan AirPods dengan kamera.