Sebagai seorang penulis di Amanz, saya sentiasa perlu mencari cara termudah untuk mendapatkan media kandungan untuk penulisan saya. Selalunya, perkara ini cukup mudah dengan hanya perlu membuka menu konteks dan menggunakan ciri Copy Image. Tetapi kadang-kala saya perlu menggunakan cara lain untuk mendapatkan tangkapan layar dengan konteks yang diperlukan. Untuk ini, saya menggunakan Snipping Tool.
Dalam kemaskini akan datang, pengguna akan boleh mengambil tangkapan layar dengan Snipping Tool dengan pilihan untuk menukarkan kandungan tersebut kedalam sebuah jadual ataupun table. Ciri ini dilaporkan sedang diuji melalui program Windows Insider, dan dijangka akan diperkenalkan kepada semua di masa akan datang.
Menggunakan ciri ini juga dilihat cukup mudah. Anda hanya perlu membuka program Snipping Tool, mengambil tangkapan layar yang dimahukan, dan anda akan diberikan pilihan untuk menyalin data yang terkandung dalam tangkapan layar tersebut kedalam sebuah “jadual”.
Buat masa ini, ciri yang diuji ini mengatakan bahawa walaupun ia boleh mencipta sebuah jadual tanpa masalah, kekurangannya buat masa ini ialah anda hanya boleh “menyalin” data yang dimahukan. Sebarang maklumat lain juga akan disalin, dan ini akan menyebabkan ralat pada jadual anda.
Ciri ini pada pendapat saya sangat berguna, tetapi sayangnya buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah ia akan diperkenalkan kepada pengguna-pengguna Windows 11.