Vivo secara rasminya melancarkan telefon mercu baharu siri X200 dalam sebuah acara yang berlangsung di Beijing, China pada hari ini. Apa yang lebih baik kali ini terdapatnya versi mini yang dianggap sebagai jawapan Vivo kepada mereka yang menginginkan sebuah peranti dengan spesifikasi canggih dan bersaiz kompak. Vivo juga sekali lagi mempertaruhkan pelbagai ciri lebih canggih berbanding model-model terdahulu menerusi rangkaian baharu ini. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk kesemua peranti di bawah siri X200.
Vivo X200 Pro menggunakan paparan LTPO OLED melengkung 6.78-inci 1.5K (4500 nits) dengan kadar segar semula 120Hz. Ia dijana dengan cip Mediatek Dimensity 9400 terkini yang menjanjikan peningkatan prestasi ketara berbanding sebelum ini. Selain itu dilengkapi dengan memori sehinga 16GB RAM, storan dalaman 1TB UFS 4.0 dan menjalankan perisian OriginOS 5 berasaskan Android 15.
Dari segi kamera, X200 Pro menampilkan kamera utama 50MP (1/1.28″ Sony LYT-8180) + ultra-lebar 50MP + telefoto 200MP (ISOCELL HP9 1/1.4”) sambil dikuasai oleh cip pengimejan Vivo V3+. Ia juga menggunakan lensa telefoto ZEISS APO 200MP yang menawarkan panjang fokus diantara 24 hingga 135mm untuk membolehkan imej dapat dirakam sebaiknya sama ada dari jarak dekat dan jauh.
Sekaligus memastikan kualiti imej yang tinggi dalam pelbagai senario walaupun pada tahap zum yang tinggi. Terdapat juga Telephoto Macro Mode bertujuan untuk tangkapan imej yang lebih tajam di samping Landcsape Mode yang direka untuk merakam adegan dengan perincian sebaiknya. Selain itu Snapshot Mode bagi membolehkan kamera mengunci subjek bergerak pantas serta mengambil gambar tepat pada waktunya.
Kemampuan rakaman video turut diberi naik taraf dengan keupayaan video 8K, gerak perlahan 4K/120FPS, Log 10-bit dan video potret 4K. Selain itu mempunyai teknologi salutan anti-reflektif ZEISS T* untuk memastikan penghasilan semula warna yang tepat sambil mengurangkan silau. Kamera swafoto sebesar 32MP diletakkan dalam lubang kecil di skin hadapan.
Vivo melengkapkan lagi peranti dengan teknologi bateri-silikon BlueVort baharu berkapasiti 6,000 mAh dan menyokong pengecasan pantas berwayar 90W dan nirwayar 30W melalui port USB-C. Bateri silikon ini diyakini mampu berfungsi jauh lebih baik dalam pelbagai keadaan termasuk sejuk melampau. Antara ciri lain yang boleh ditemui adalah imbasan cap jari pada skrin, kalis air IP68/IP69, NFC, sistem panggilan telefon menggunakan satelit dan rangkaian 5G.
Vivo X200 Pro Mini mempunyai paparan LTPO OLED rata 6.31-inci 1.5K dengan kadar segar semula 120Hz. Menguasai peranti ialah cip Mediatek Dimensity 9400 tekini yang dipadankan dengan memori 16GB RAM dan storan dalaman 1TB. Selain turut menjalankan perisian terkini OriginOS 5 berasaskan Android 15 dengan ciri Origin Island dan pelbagai ciri AI. Bateri-silikon BlueVort sebesar 5,700mAh digunakan menyokong pengecasan pantas berwayar 90W dan nirwayar 30W melalui port USB-C.
Sementara itu sistem kamera menampilkan tri-sensor 50MP untuk kebolehan utama, ultra-lebar dan telefoto periskop bersama cip pengimejan V3+. Sekali lagi teknologi salutan anti-reflektif ZEISS T* bagi memastikan penghasilan semula warna yang tepat sambil mengurangkan silau. Kamera swafoto 32MP pula diletakkan dalam lubang kecil di skrin hadapan. Antara ciri lain yang boleh ditemui adalah imbasan cap jari pada skrin, kalis air IP68/IP69, NFC dan rangkaian 5G.
Vivo X200 dilengkapi paparan LTPO OLED melengkung 6.67-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Cip Mediatek Dimensity 9400 digunakan sebagai tunjang utama dengan memori 16GB RAM dan storan dalaman 512GB . Diikuti dengan perisian OriginOS 5 berasaskan Android 15 dengan pelbagai ciri AI bertujuan untuk pengalaman penggunaan lebih terkini.
Sistem kamera terdiri dengan 50MP (Sony IMX882) + 50MP (ultra-lebar) + 50MP (telefoto). Bateri adalah sebesar 5,800 mAh dengan pengecasan pantas 90W melalui port USB-C. Antara ciri lain yang boleh ditemui adalah imbasan cap jari pada skrin, kalis air IP68, NFC dan rangkaian 5G.
Harga jualan rasmi bermula RMB 4299 (~RM2605) untuk X200, RMB5299 (~RM3211) X200 Pro dan RMB 4699 (~RM2847) untuk X200 Pro Mini.