Beberapa pengumuman mengenai Photoshop juga telah dilakukan di acara Adobe Max malam tadi. Sebelum ini seperti sedia maklum, Photoshop mempunyai ciri Generative Fill boleh menjana imej dalam ruang yang dipilih pengguna. Kini Generative Fill diperkasakan lagi dengan cir baharu serta model Firefly Image 3 yang terkini.
Photoshop akan mempunyai ciri Find Distractions yang secara automatik mencari elemen dalam gambar yang boleh dibuang. Dengan hanya satu klik elemen-elemen ini akan dibuang dan digantikan dengan elemen yang lebih serasi. Sebagai contoh individu di latar belakang dan kabel berselirat boleh dipadam secara automatik.
Menerusi Firefly Image 3 pula, ciri Generative Fill, Generative Expand, Generate Similar, dan Generate Background boleh menjana imej yang kelihatan lebih realistik. Antara itu yang kami sedari dengan kesemua alatan di atas ialah kerap kali imej gantian yang dijana nampak aneh dan kadang kala proses memadam elemen tidak kemas jika dibandingkan dengan melakukannya secara manual.
Generate Similar kini diperkasakan untuk menjana imej yang lebih konsisten berdasarkan prom yang diberikan. Pengguna yang tidak mahu perubahan besar antara setiap janaan akan melihat perubahan yang ketara apabila menggunakan Generate Similar.
Selain ciri ini, sokongan imej 32-bit dikembangkan lagi bagi menyokong suntingan imej HDR. Lebih banyak alat di dalam Photoshop kini menyokong mod 32-bit seperti Dodge Tool, Burn Tool, Magnetic Lasso dan Patch. Bagi yang ingin mencuba kesemua ciri ini lebih awal, anda boleh memuat turun Photoshop Beta hari ini.