Sudah bertahun lamanya kami menantikan kehadiran HBO Max ke Malaysia. Kini dengan nama Max, ia akhirnya bersedia menggantikan HBO GO yang telah disahkan akan tiba ke Malaysia tahun ini. Hari ini, Warner Bros. Discovery mengumumkan Max Asia akan boleh diakses di Malaysia bermula 19 November.
Max turut akan dilancarkan di Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Taiwan dan Hong Kong. Melalui pelancaran aplikasi Max di pasaran Asia Tenggara, tiga pelan langganan akan diperkenalkan iaitu Mobile, Standard atau Ultimate. Buat masa ini harga langganan masih belum didedahkan.
Berikut adalah butiran pelan untuk jumlah peranti yang boleh digunakan, kualiti penstriman dan jumlah video yang boleh dimuat turun untuk tontonan luar talian.
Pelan | Peranti | Resolusi | Muat Turun |
Mobile | 1 | HD | 15 video |
Standard | 2 | HD Penuh | 30 video |
Ultimate | 4 | 4K UHD dan Dolby Atmos | 100 video |
Untuk Mobile, di Malaysia ia hanya akan ditawarkan melalui kerjasama dengan syarikat telekomunikasi terpilih. Laman web Max.com dan aplikasi akan tersedia pada 19 November berserta dengan harga langganan.

Untuk Max, Warner Bros. Discovery menyatakan kandungan dunia Harry Potter, DC Universe, Cartoon Network, Max Originals, saluran-saluran Discovery, TLC, AFN, Food Network, dan banyak lagi boleh diakses. Sitkom Friends, siri TV Dune: Prophecy dan IT: Welcome to Derry turut akan tiba serentak dengan tarikh siaran di Amerika Syarikat.
Max turut akan menawarkan pengalaman penggunaan berbeza dengan HBO GO. Misalnya, satu akaun akaun menyokong lima profil berbeza dengan senarai main dan koleksi kandungan kegemaran tersendiri.