Carian
AMD
AMD Ryzen 7 9800X3D Dijangka Akan Diperkenalkan Pada 25 Oktober Ini
October 15, 2024 Nazrin

Jika anda sedang menulis senarai binaan untuk sebuah komputer desktop baru, anda mungkin mahu menunggu sebentar kerana ura-ura baru mengatakan bahawa AMD akan melancarkan siri cip pemprosesan X3D terbaru mereka, termasuklah cip pemprosesan AMD Ryzen 7 9800X3D pada 25 Oktober 2024.

Maklumat rasmi mengenai cip pemprosesan ini tidak diumumkan lagi, tetapi menurut pelbagai maklumat tertiris yang dapat ditemui di internet kebelakangan ini, ia dilihat tampil dengan lapan teras fizikal Zen 5 dengan kelajuan semua teras 5.2GHz. Buat masa ini, kelajuan lewahjam untuk CPU ini tidak diketahui lagi, tetapi dijangka akan hadir dengan nilai yang lebih tinggi lagi.

Satu lagi keunikan pada siri CPU X3D keluaran AMD ialah ia hadir dengan jumlah memori cache (L2+L3+3D V-cache) yang lebih tinggi, dikatakan sebanyak 105MB. Penambahan V-Cache ini dilihat penting khususnya untuk mereka yang mahu membina komputer untuk tujuan gaming, supaya pengguna boleh mendapatkan kadar bingkai dalam permainan yang lebih tinggi.

AMD juga dijangka akan melancarkan lebih banyak model CPU AMD Ryzen 9 9000X3D, tetapi untuk pelancaran pada 25 Oktober ini, ia dijangka bahawa AMD hanya akan memperlihatkan model AMD Ryzen 7 9800X3D terlebih dahulu.

Komen