Minggu lepas, ramai yang memberi spekulasi yang DJI akan melancarkan kamera nircermin tersendiri tetapi ternyata bukan kerana produk yang telah tiba malam tadi adalah DJI Air 3S. Dron baharu yang lebih berkemampuan dalam rakaman video tetapi kekal dengan tubuh lebih kecil.
DJI Air 3S hadir dengan sistem dwi-kamera 50MP+48MP, satu dengan sensor CMOS 1-inci dan satu lagi dengan sensor telefoto 70mm. Menurut DJI, sistem kamera baharu ini akan membantu ketika rakaman video waktu malam yang turut dimudahkan dengan Non-GPS RTH + sensor Nighttime RTH baharu untuk mengelak sebarang halangan ketika penerbangan dalam suasana gelap.
Air 3S turut menjanjikan kebolehan melakukan rakaman video panorama bebas, penerbangan yang lebih seimbang, kualiti video HDR serta bateri yang boleh bertahan selama 45 minit untuk 20 kilometer penerbangan. DJI turut menjamin kualiti video adalah 30% lebih baik dengan ciri rakaman video menegak beresolusi 2.7K, MasterShots, QuickShots, Hyperlapse dan banyak lagi dikekalkan.
ActiveTrack 360° turut diperkenalkan untuk rakaman video bergerak yang lebih tersusun rapi serta kawalan yang lebih pintar. Kemudian sambungan 4G melalui DJI Cellular Dongle 2 turut disokong, storan 42GB terbina dan aplikasi mudah sunting video kekal percuma digunakan.
Di Malaysia, DJI Air 3S dijual pada harga RM4,599. DJI turut menawarkan pelbagai berkas belian serta jualan pelbagai aksesori seperti penuras ND dan sebagainya.