Xiaomi SU7 Kini Dipamerkan Di Malaysia Untuk Tempoh Terhad
Fahim Zahar
Xiaomi SU7 adalah kereta elektrik atau EV pertama Xiaomi yang telah menggegarkan dunia tahun ini. Bukan sahaja kerana harga jualan yang lebih murah untuk kelas keretanya, tetapi dari segi ciri dan fungsi turut menarik perhatian ramai. Hari ini buat pertama kalinya, Xiaomi SU7 dipamerkan di Malaysia.

Sempena jerayawara siri Xiaomi 14T yang berlangsung di Center Court, Suria KLCC – Xiaomi SU7 dipamerkan bersama. Seperti yang anda tahu, Xiaomi 14T dan Xiaomi 14T Pro menjalankan sistem operasi HyperOS yang telah dibina untuk ekosistem Human x Car x Home. Ia membolehkan pengguna Xiaomi menggunakan kebanyakan produk bersama-sama dengan yang lain. Misalnya di dalam SU7, skrin untuk penduduk kerusi belakang adalah Xiaomi Pad 6 dan tahun hadapan akan digantikan dengan Xiaomi Pad 7.

Untuk mempromosikan jualan Xiaomi 14T, mereka yang memberi mana-mana model peranti ini boleh menerima akses ekspres untuk mengambil gambar bersama SU7 serta mencuba HyperOS di dalam kereta ini. Sementara, mereka yang tidak membeli apa-apa produk masih turut boleh merasai pengalaman menyentuh dan bergambar bersama kereta ini – cuma perlu tunggu giliran yang panjang.

Jika anda adalah peminat EV atau juga peminat setia jenama Xiaomi, SU7 di Malaysia ini dipamerkan hanya di Center Court, Suria KLCC bermula hari ini 16 Oktober 2024 sehingga hari Ahad pada 20 Oktober 2024. Selepas tamat jerayawara ini, Xiaomi SU7 akan merantau ke negara lain pula untuk jerayawara yang seterusnya.