Honor telah melancarkan dua model baharu dalam siri X60 semalam. Ia dikenali sebagai Honor X60 Pro dan X60 dengan masing-masing-masing memiliki kelebihan serta kemampuan yang dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan pengguna moden. Kesemuanya juga dipasarkan sebagai telefon kelas pertengahan dan spesifikasi penuhnya adalah seperti di bawah.
Honor X60 Pro menggunanakan skrin OLED FHD+ melengkung 6.78-inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 3000nits. Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 6 Gen 1 yang dilihat turun-taraf daripada Snapdragon 8+ Gen 1 yang digunakan pada X50 Pro sebelum ini. Pilihan memori pula sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 512GB.
Perisian terkini MagicOS 8.0 berasaskan Android 14 disertakan dengan pelbagai fungsi menarik untuk pengalaman lebih baik. Dwi kamera digunakan terdiri dengan 108MP + 2MP yang turut boleh merakam video 4K. Selain itu mempunyai kamera swafoto 8MP, pengimbas cap jari sisi, bateri 6,600mAh dengan pengecasan 66W, sistem telekomunikasi dua hala dan sistem audio stereo berteknologi Histen 7.1.
Honor X60 mempunyai skrin LCD FHD+ rata 6.8-inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 850nits. Ini dipadankan dengan cip Mediatek Dimensity 7025-Ultra dengan memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman 512GB dan perisian MagicOS 8.0 berasaskan Android 14. Bateri 5800mAh disertakan boleh dicas melalui pengecasan 35W dan port USB-C. Kameranya pula terdiri dengan 108MP + 2MP dibelakang di samping swafoto sebesar 8MP. Selain itu mempunyai pengimbas cap jari sisi dan sistem audio stereo berteknologi Histen 7.1.
Harga jualan bermula RMB 1,500 (~RM905) (8/128GB) untuk X60 Pro manakala RMB 1,200 (~RM725) (8/128GB) pula X60. Tiada butiran mengenai ketersediannya untuk pasaran global diketahui buat masa ini. Namun dipercayai boleh dipasarkan dengan penjenamaan berbeza dan peningkatan kecil pada perkakasan dalaman apabila memasuki ke pasaran global akan datang.