Carian
Pelan YouTube Premium Lite Dikembangkan Ke 3 Negara Lagi
October 17, 2024 Fahim Zahar

YouTube Premium Lite adalah pelan langganan lebih murah untuk menikmati YouTube tanpa sebarang iklan. Berbeza dengan pelan langganan Premium yang lain, Premium Lite adalah pelan yang hanya membuang iklan tanpa ciri dan fungsi tambahan. Pelan ini kini dikembangkan ke tiga negara lagi.

YouTube sebelum ini telah menamatkan pelan Premium Lite di beberapa negara, tetapi nampaknya ia tidak ditamatkan sepenuhnya. Baru-baru ini, Premium Lite telah dikembangkan ke Australia, Jerman dan Thailand. Pelan ini tidak memberi akses memainkan video di latar, memuat turun untuk tontonan luar talian, tiada akses ke YouTube Music dan di dalam YouTube Kids turut akan ada iklan.

Di Australia, pelan Premium Lite boleh dilanggan dengan harga $11.99 (~RM34.50) berbanding harga biasa $22.99 (~RM66.20). Pada masa yang sama, sesetengah pengguna boleh menguji pelan ini dengan harga langganan $8.99 (~RM25.90) sebulan. Setakat ini, mana-mana platform penstriman yang menawarkan pelan dengan iklan atau pelan hanya membuang iklan – jarang ditawarkan di Malaysia. Jika ditawarkan, adakah anda berminat?

Komen