Google Flights Kini Memudahkan Pengguna Mencari Tiket Kapal Terbang Termurah
Fahim Zahar
Mencari tiket kapal terbang termurah kadangkala mencabar kerana ia berbeza mengikut lokasi, aplikasi dan juga musim tertentu. Untuk memudahkan semua orang, Google Flights telah dikemaskini dengan tab Cheapest.

Bermula minggu ini, pengguna boleh terus mencari tiket penerbangan melalui Google Search dengan terus memasukkan carian destinasi seperti KUL to KBR atau KUL to BKK dan sebagainya. Kemudian keputusan carian yang ringkas akan dipaparkan dengan pilihan untuk tekan Show flights. Selepas ditekan, pengguna akan dibawa ke bahagian carian Flights dengan pilihan untuk menerokai tab Cheapest.
Menurut Google, tab Cheapest memaparkan harga paling murah dengan cadangan jadual perjalanan yang kreatif. Misalnya, tiket yang dicadangkan murah kerana ada persinggahan ke lapangan terbang lain atau tiket yang memerlukan pelbagai bayaran tambahan sebelum penerbangan bermula. Ciri baharu ini menurut Google akan memudahkan pengguna yang mementingkan penjimatan wang berbanding rancangan perjalanan yang lebih efisien.

Ciri ini akan diedarkan secara berperingkat kepada semua pengguna bermula minggu ini. Ciri ini boleh digunakan oleh semua dalam masa dua minggu. Dalam semakan saya, akaun Google saya pada peranti Android dan iOS – Google Flights dengan tab Cheapest sedia digunakan.
[sumber] Google [/sumber]