Canalys – Pasaran Telefon Pintar Global Meningkat 5% Pada Q3 2024
Amy Maizuraa
Prestasi pasaran telefon pintar global dilaporkan berkembang 5% pada Q3 2024, meningkat daripada -1% pada suku tahun sebelumnya didorong oleh persekitaran ekonomi global yang pelbagai dan berdaya saing. Apple merekodkan penghantaran paling tinggi melalui jualan model lama, sementara itu Samsung pula mengekalkan kedudukannya di tangga teratas dalam pasaran telefon pintar global.

Samsung mempunyai pegangan pasaran sebanyak 18%, yang pada asasnya adalah sama dengan jumlah pegangan pasaran diraih Apple melalui permintaan yang tinggi untuk siri iPhone 15. Namun sebab utama peningkatan penghantaran Apple adalah kerana peralihan pasaran kearah peranti premium, di samping kepelbagaian produk mereka yang dipertingkatkan juga membantu dalam mengekalkan kebolehsaingan dengan pengeluar lain. Begitu juga dengan rangkaian iPhone 16 terkini yang dijangka mampu bantu mengekalkan momentum Apple menjadi pengeluar telefon terbesar bagi suku keempat 2024.

Xiaomi, Oppo dan Vivo melengkapkan lagi carta dengan perbezaan pegangan pasaran yang tidak ketara berbanding tahun sebelumnya. Xiaomi dilaporkan masih kekal sebagai pengeluar telefon pintar ketiga terbesar dengan bahagian pasaran sebanyak 14%. Oppo kini menduduki tangga keempat dengan pegangan pasaran sebanyak 9% didorong oleh pertumbuhan kukuh di India dan Amerika Latin. Canalys menyatakan Vivo turut mempunyai peningkatan penghantaran sebanyak dua digit untuk membentuk 9% pegangan pasaran.